Jadual khas: Adakah wakil rakyat PH masih budak sekolah?

Mah Hang Soon
Mah Hang Soon
A
A
A

KUALA LUMPUR - MCA mempersoalkan adakah Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) merupakan ‘budak sekolah’ kerana perlu mengikut jadual khas bagi memantau kehadiran semua ahli Parlimen dari kerajaan di Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ini kerana kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat adalah mandat yang diberikan oleh rakyat yang mengundi dan gaji mereka juga dibayar oleh rakyat.

“Oleh itu, ia adalah tanggungjawab mereka untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat dengan rajin untuk membahaskan dasar-dasar kerajaan, mengambil bahagian dalam penggubalan undang-undang dan menyuarakan kehendak rakyat. Lebih-lebih lagi apabila ia berkenaan Belanjawan 2020, sementara menteri-menteri pula memain peranan menjawab persoalan-persoalan yang timbul.

“Namun kerajaan baharu PH pula terpaksa mengeluarkan satu jadual khas untuk memantau kehadiran ahli-ahli Parlimen. Adakah wakil-wakil rakyat PH tidak bertanggungjawab dan tidak berdisiplin sehingga satu jadual khas terpaksa dikeluarkan? Adakah dasar negara bakal ditentukan orang yang bersikap seperti budak-budak sekolah?," Katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Hang Soon berkata, pelaksanaan jadual khas itu bukan sekadar memerlukan kerajaan PH bahkan juga dilihat sebagai satu penghinaan kepada ahli-ahli Parlimen dan juga rakyat yang mengundi mereka

Menurutnya, jadual khas tersebut juga dilihat sebagai langkah terdesak untuk mengelak berlaku lagi kekurangan korum dalam Dewan Rakyat.

“Adakah ini keutamaan kerajaan baharu? Untuk memaksa wakil rakyat hadir semata-mata untuk memastikan adanya korum sahaja? Nampaknya PH hanya melihat wakil-wakil rakyat mereka sebagai ‘rubber stamp’ sahaja dan bukannya untuk menjadi suara rakyat.

“Apakah akan berlaku sekiranya ada wakil rakyat yang tidak menghadiri satu sesi Parlimen pun? Jika mandat rakyat boleh dikhianati, apatah lagi janji-janji PH untuk reformasi institusi Dewan Rakyat?,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, kerajaan bersetuju mengeluarkan satu jadual khas kepada ahli Parlimen di Dewan Rakyat bagi mengelakkan isu tidak cukup korum kembali dibangkitkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, langkah itu dibuat bagi memantau kehadiran semua ahli Parlimen dari kerajaan.

Jelas Vui Keong, beliau akan mengambil inisiatif sendiri dengan mengambil kehadiran di dalam dewan dan melaporkannya kepada presiden parti dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tindakan itu diambil susulan Khamis lalu Dewan Rakyat ‘kosong’ apabila ahli parlimen termasuk menteri dan timbalan menteri didapati 'ponteng' atau tidak hadir ke sesi persidangan Dewan Rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN Jadual khas pantau kehadiran ahli Parlimen: Liew Vui Keong