Misi mencari wanita tular berakhir

LZS memaklumkan usaha menemui wanita tersebut berjaya dengan bantuan netizen yang membantu menyampaikan maklumat.
A
A

KLANG - Misi Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk mencari seorang wanita yang sebelum ini dilaporkan kerap merayau di sekitar Jalan Kebun di sini berakhir apabila wanita itu ditemui petang Selasa lalu.

LZS menerusi satu kenyataan memaklumkan, setelah ditemui Skuad Saidina Umar (SSU) LZS dengan bantuan amil kariah Masjid Al Falah Jalan Kebun serta penduduk kampung cuba memujuk wanita itu untuk ditempatkan di rumah perlindungan.

Bagaimanapun, wanita tersebut bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

“Disebabkan wanita tersebut semakin agresif, pihak kami terpaksa menghubungi pihak polis untuk bantuan membawanya ke Hospital Klang bagi tindakan selanjutnya.

“Kes diklasifikasikan sebagai gelandangan dan akan diuruskan oleh pihak JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),” katanya menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, LZS mengucapkan terima kasih kepada semua netizen yang membantu menyampaikan maklumat kepada agensi berkenaan sehingga usaha mencari wanita ini berjaya ditemui.

Sebelum ini, tular misi LZS untuk mencari wanita yang didakwa kerap berjalan seorang diri di sekitar Jalan Kebun hingga ke Kampung Jawa, Klang dengan tujuan meminta sedekah daripada orang ramai.

Sebelum ini tular misi pencarian wanita yang didakwa kerap berjalan seorang diri di sekitar Jalan Kebun hingga ke Kampung Jawa, Klang dengan tujuan meminta sedekah daripada orang ramai.
Sebelum ini tular misi pencarian wanita yang didakwa kerap berjalan seorang diri di sekitar Jalan Kebun hingga ke Kampung Jawa, Klang dengan tujuan meminta sedekah daripada orang ramai.

Wanita tersebut dikatakan mengalami tekanan jiwa selepas gagal dalam rumah tangga, suaminya seorang mualaf meninggalkannya manakala anak-anak pula diserahkan kepada JKM untuk penjagaan.

Menurut kenyataan itu, tekanan dihadapi wanita itu semakin teruk apabila dia tinggal seorang diri dan tidak mahu berjumpa sesiapa pun.

“Wanita itu berjalan tanpa arah tujuan dan tidak diketahui tempat sebenar dia bermalam.

“Wanita ini juga merupakan penerima bantuan dari LZS iaitu bantuan kewangan bulanan berjumlah RM300, bantuan hari raya tahunan dan bantuan lain,” katanya.

Bagaimanapun terbaharu Sinar Harian dimaklumkan wanita yang diselamatkan dan dihantar ke hospital itu telah melarikan diri.