'Tergamam dapat jersi Zaquan Adha'

A
A
A

ALOR SETAR - " Saya tak sangka abang Zaquan akan beri jersi dia pada saya, saya akan simpan jersi ini sebagai kenangan", itu luahan Muhammad Lutfan Zafran Mohd Adzhar, 9, yang menerima kejutan daripada Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dalam pertemuan dengan pemain pasukan Kedah berkenaan di Stadium Sultan Abdul Halim di sini.

Sebelum itu Lutfan Zafran kelihatan tergamam selepas Zaquan Adha menyerahkan jersi yang dipakainya kepada kanak-kanak terbabit sebelum bergegas menyertai latihan bersama rakan-rakan lain di padang stadium berkenaan.

Lutfan Zafran yang terkejut dengan rekasi Zaquan Adha itu kelihatan sebak sambil memeluk dan mencium jersi berkenaan.

Lutfan Zafran yang juga penjaga gol Kenari Kid Kuala Ketil berkata, dia tidak menyangka akan diberi peluang bertemu dengan pemain kesayangannya itu.

"Rasa gembira dapat jumpa abang Zaquan hari ini, saya memang minat bola dan bercita-cita nak jadi pemain bola sepak seperti abang Zaquan suatu hari nanti," katanya.

Ketika mengulas mengenai videonya yang tular pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia Kedah menentang Pahang di Stadium Darul Aman Sabtu lalu, Lutfan Zafran berkata, dia terlalu gembira sehingga menangis selepas melihat Zaquan Adha berjaya menjaringkan gol bagi menyamakan kedudukan.

" Sebelum itu pun saya dah berdebar-debar bila tengok abang Zaquan dekat dengan pintu gol," katanya yang videonya tular di media sosial beberapa hari lalu.

Ibunya, Khairun Akmar Laili Said, 35, berkata, anak sulungnya itu merupakan peminat setia pasukan Kedah dan sering hadir ke stadium bersama keluarga bagi memberikan sokongan.

Artikel Berkaitan:

"Dia pula tak sanggup nak tengok pasukan Kedah kalah pada malam itu (Sabtu), itu yang sampai menangis bila tengok Zaquan jaringkan gol,"katanya.

Sementara itu, Zaquan Adha berkata sebagai pemain, dia melahirkan rasa terharu apabila melihat video Lutfan Zafran itu.

" Saya sendiri pernah melalui zaman seperti adik ini yang minat dengan bola dan sanggup datang ke stadium untuk beri sokongan kepada pasukan kesayangan.

"Apa yang adik ini tunjukkan adalah lahir dari hatinya yang ikhlas. Ia sedikit sebanyak memberikan motivasi kepada saya untuk mempamerkan aksi terbaik Sabtu ini.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada adik Lutfan Zafran dan juga penyokong-penyokong lain yang setia menyokong pasukan Kedah," katanya.

Terdahulu Zaquan Adha meluangkan masa kira-kira setengah jam bertemu dengan Lutfan Zafran yang hadir bersama ibu, adik dan ayahnya dari Kampung Tawar, Baling.