Jangan salahguna wang zakat: Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin bertitah ketika hadir Majlis Persidangan Meja Bulat Syarikat-syarikat Korporat anjuran LZS di Hotel Concorde di sini hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah ketika hadir Majlis Persidangan Meja Bulat Syarikat-syarikat Korporat anjuran LZS di Hotel Concorde di sini hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan agensi atau individu yang berurusan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) supaya tidak menyalahgunakan wang zakat dan sentiasa jujur dalam setiap urusan.

Baginda bertitah, mereka yang menyelewengkan wang zakat adalah berdosa besar dan baginda bertegas tindakan dan hukuman yang sewajarnya perlu diambil kepada mereka yang tidak amanah dalam menguruskan zakat.

“Beta sentiasa mengikuti perkembangan LZS dan agihan zakat kepada mereka yang berhak,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika hadir Majlis Persidangan Meja Bulat Syarikat-syarikat Korporat anjuran LZS di Hotel Concorde di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin sebelum itu berkenan supaya orang Islam dan syarikat korporat yang wajib membayar zakat di negeri Selangor menunaikan rukun Islam keempat itu kepada LZS bukannya kepada institusi lain yang tidak diberi kuasa.

“Aktiviti kutipan zakat dibuat pihak tidak bertauliah adalah salah di sisi undang-undang dan boleh dikenakan denda dan penjara.

“Oleh itu adalah satu kewajipan bagi individu Muslim dan juga syarikat korporat mengeluarkan zakat kepada LZS bukannya kepada institusi lain yang tidak diberi kuasa mengutip dan mengagihkan zakat,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan LZS supaya menjalankan fungsinya dengan baik, telus dan berdedikasi supaya kepercayaan rakyat bertambah.

Artikel Berkaitan:

Baginda yakin kutipan zakat di negeri Selangor akan bertambah sekiranya lebih banyak syarikat korporat mengeluarkan zakat sekaligus membantu golongan asnaf dan miskin untuk sama-sama menikmati hasil kekayaan negeri.

“Beta berkenan supaya Lembaga Zakat sentiasa transparent (telus) dalam memberitahu kepada masyarakat mengenai jumlah kutipan dan agihan zakat yang dilakukan.

“Beta dimaklumkan oleh LZS pada tahun lepas pembayaran zakat daripada syarikat korporat yang wajib membayar zakat hanya menyumbangkan sebanyak 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat di negeri Selangor.

“Daripada maklumat tersebut, beta yakin kutipan zakat di negeri Selangor akan bertambah sekiranya lebih banyak syarikat mengeluarkan zakat kepada LZS,” titahnya.

Menerusi titahnya, baginda turut menasihatkan LZS supaya mencari kaedah membantu penerima zakat menambahkan pendapatan mereka dan keluar daripada garis kemiskinan serta dapat berjaya menaikkan taraf ekonomi sendiri.

Beliau bertitah, mengikut kajian Universiti Teknologi Mara (UiTM), keperluan bantuan zakat kepada golongan asnaf di negeri ini pada tahun 2017 dan masa akan datang terus bertambah kerana penambahan penduduk dan juga keluarga yang kurang berkemampuan.

Fenomena itu berikutan perpindahan penduduk ke negeri Selangor kerana mencari kerja atau bekerja di sektor yang mempunyai upah yang rendah.

“Krisis ekonomi dan penambahan kadar pengangguran serta kenaikan harga barang akan menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah yang boleh menyebabkan bertambahnya jumlah asnaf atau orang miskin di negeri Selangor.

“Oleh itu dengan adanya pembayaran zakat dari Syarikat-Syarikat Korporat di negeri Selangor ini boleh menambahkan kutipan dan agihan zakat kepada mereka yang layak menerimanya,” titahnya.