X

Kindly register in order to view this article
!

Pas anggap Nasharudin belum bersalah

Mohd Amar Nik Abdullah
A
A

KOTA BHARU - Pas beranggapan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa masih belum bersalah selagi mahkamah tidak memutuskan beliau betul-betul salah terhadap pertuduhan yang dihadapinya itu.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dalam perkara sebegini membabitkan mana-mana pemimpin sekalipun Pas sentiasa bersikap adil dan tidak akan menghukum selagi tidak diputuskan bersalah.

"Dia baharu dituduh, kita belum tahu betul atau tidak dengan tuduhan tersebut. Dalam undang-undang pun disebut seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

"Pendirian kita pun sama dalam isu Lim Guan Eng apabila dituduh berkaitan isu banglo. Kami mengambil pendirian beliau tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

"Sama sahaja dengan Nasharudin, Guan Eng dan Datuk Seri Najib (Tun Razak) serta Anwar Ibrahim. Pendirian kita sama sahaja, tiada bezanya dan kita tunggu keputusan (mahkamah)," katanya kepada media.

Beliau ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Semalam, Nasharudin didakwa Mahkamah Seysen Shah Alam atas 33 pertuduhan kes pengubahan wang haram dan pecah amanah sejak 2015 hingga tahun ini berjumlah RM4 juta.

Dalam pada itu, Pas juga bersyukur kerana kes yang dihadapi bekas Ahli Parlimen Bachok itu tiada kaitan dengan parti sebagaimana tuduhan sebelum ini menyatakan menerima dana pihak tertentu.

"Kita bersyukur, sebab sebelum ini orang tuduh kita terima duit daripada 33 pertuduhan itu tiada sangkut paut dengan parti. Alhamdulillah," katanya.

Mengulas lanjut, mengenai keahlian Nashrudin yang juga Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) dalam parti, Mohd Amar memaklumkan beliau masih lagi ahli Pas tetapi sudah lama tidak aktif selepas kalah dalam pemilihan.

Kemungkinan Pas akan melucutkan keahliannya bersama Pas juga, Mohd Amar berkata, perkara itu tidak akan dibuat secara tergesa-gesa memandangkan kes Nashrudin masih tiada keputusan di mahkamah.

"Kita ada peraturan dan perlembagaannya. Terserah kepada parti dan tunggu dahululah, jangan lorat," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus