Bukit Aman panggil Zainal Kling beri keterangan Jumaat ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Eksekutif, Sekretariat Program Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Zainal Kling akan dipanggil untuk memberi keterangan di Bukit Aman Jumaat ini berhubung kenyataannya dalam program itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kenyataan Zainal akan dirakam berikutan laporan polis yang dibuat oleh Pegawai Khas kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Kita telah rakam percakapan pengadu. Kita juga telah berhubung dengan Zainal untuk tampil beri keterangan. Kita juga akan menyemak dan memanggil penganjur program itu.

"Kita telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 504 dan 233 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di sini tadi.

Pada kongres yang berlangsung di Stadium Malawati pada 6 Oktober lalu, Zainal dipercayai memberi beberapa kenyataan keras yang menyentuh isu Perlembagaan Persekutuan, kedudukan raja-raja dan juga kedudukan istimewa orang Melayu.

Dalam perkembangan berasingan, individu yang bertanggungjawab memuat naik kenyataan menyamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan anjing di laman sosial Twitter baru-baru ini dikesan berada New Zealand.

Huzir berkata, polis telah menyenaraikan individu dikenali sebagai Navin Pillai itu sebagai orang yang dikehendaki polis.

"Kita telah mendapati dia sudah keluar dari Malaysia pada 2007, kita akan tangkap sekiranya dia kembali ke tanah air," katanya.

Artikel Berkaitan: