X

Kindly register in order to view this article
!

PRK Tanjung Piai: Kedudukan pusat mengundi ikut persempadanan 2018

A
A

PUTRAJAYA - Kedudukan pusat mengundi yang jauh dari Kampung Ulu Pulai bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah mengikut syor persempadanan baharu bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu yang diluluskan di Parlimen pada 28 Mac 2018, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Sehubungan pewartaan syor persempadanan baharu, terdapat beberapa kawasan bahagian pilihan raya sedia ada yang telah berubah mengikut syor tersebut,” kata SPR dalam kenyataan hari ini.

Menurut SPR, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Kampung Ulu Pulai terletak dalam Daerah Mengundi Kampung Pulai, di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusa Jaya dan Parlimen Gelang Patah, manakala pusat mengundi adalah di Sekolah Kebangsaan Kampung Pulai.

Katanya, berdasarkan persempadanan baharu itu, Kampung Ulu Pulai telah berubah ke Daerah Mengundi Bandar Pekan Nenas Selatan, DUN Pekan Nanas dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai dan mereka mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Ming 1 pada PRU14.

"Perubahan ini dilaksanakan setelah mengambil kira sempadan pentadbiran daerah Pontian dan daerah Johor Bahru," kata SPR.

Sebuah stesen televisyen baru-baru ini melaporkan penduduk Tanjung Piai mahu isu pusat mengundi yang jauh sehingga 10 kilometer diselesaikan menjelang PRK tersebut.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 November ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!