Peralihan jawatan PM: Amanah teguh dengan konsensus PH

Salahuddin ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini. - Foto ROSLI TALIB
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) tetap berpegang kepada konsensus Pakatan Harapan (PH) berhubung peralihan jawatan Perdana Menteri.

Timbalan Presidennya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, perjanjian tersebut jelas menyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

Menurutnya, sekiranya muncul kenyataan daripada pemimpin parti berkaitan isu tersebut, Salahuddin menganggap ia hanyalah kenyataan peribadi mereka.

“Kita buat keputusan itu (peralihan Perdana Menteri) secara bersama. Amanah sebahagian dari PH dan jelas diberitahu perjanjian pada itu ialah Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri yang ketujuh.

“Perjanjian itu juga menyatakan dengan jelas Anwar Perdana Menteri kelapan. Itu penjelasan yang masih utuh dan berpegang sehingga hari ini,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan 'pintu belakang': Itu kenyataan kumpulan terdesak!

Tambah beliau, tempoh masa untuk peralihan tersebut terpulang kepada kebijaksanaan Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk berbincang secara konsensus atas semangat PH.

Jelasnya, pendirian majlis tersebut tidak berubah dan berpegang teguh kepada prinsip dan janji yang dimeterai semasa penubuhan PH.

“Memang ada ahli yang tak puas hati dan mereka ada kebebasan untuk suarakan pandangan tapi yang penting kepimpinan tertinggi yang wujud dalam majlis itu masih konsisten (dengan pendirian mereka).

“Kita anggap apa keputusan penting pada masa depan akan diputuskan majlis berkenaan,” katanya.

Kisah peralihan jawatan Perdana Menteri masih disebut-sebut apabila semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan agar Dr Mahathir kekal mentadbir negara untuk sepenggal.

Kenyataan beliau sekali gus menggambarkan peralihan jawatan tersebut kepada Anwar mungkin tidak menjadi kenyataan dalam penggal ini.

Begitupun Anwar dilihat tenang ketika menjawab soalan pemberita berhubung isu tersebut dan menganggap ia hanyalah kenyataan peribadi Mohamed Azmin.

Anwar 'tidak terkesan' kenyataan Azmin