Kerajaan 'pintu belakang': Itu kenyataan kumpulan terdesak!

Mohamed Azmin
A
A

KUALA LUMPUR - “Kalau ada pihak yang nak merubah pentadbiran dan kerajaan lebih awal daripada itu (lima tahun), dua tahun atau satu tahun, itulah sebenarnya kerajaan pintu belakang," demikian reaksi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika ditanya desas-desus mengatakan beliau merupakan antara dalang dalam komplot mewujudkan kerajaan pintu belakang.

Bahkan beliau turut menganggap ia adalah adalah kenyataan daripada kumpulan yang terdesak.

“Sebagai sebuah negara yang menghormati sistem demokrasi, pilihan dibuat oleh rakyat tentang sesebuah kerajaan atau Perdana Menteri setiap lima tahun.

“Mana ada berlaku kita buat pilihan raya memilih kerajaan untuk tempoh dua tahun atau satu tahun.

“Jadi saya berharap mereka yang terlalu ghairah untuk berkuasa menghormati mandat diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, beliau juga berpendapat agar Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dibenarkan menjalankan tugasnya sehingga penggal selesai.

“Tentang apa yang diputuskan Pakatan Harapan (PH), itu hanya satu semangat dan persefahaman tanpa ditetapkan sebarang tempoh.

“Saya cabar mana-mana individu untuk menyatakan kepada umum bahawa ada persetujuan dalam satu tempoh yang terdekat. Tidak ada!

“Jadi mengapa perkara ini digembar-gemburkan?” soal beliau.

Katanya lagi, beliau berharap perbincangan berkaitan peralihan kuasa dihentikan dan tumpukan sepenuh masa untuk bangunkan ekonomi dan membantu rakyat.

“Beri sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus memimpin kerana ini dapat berikan satu jaminan kepada pelabur bahawa politik Malaysia stabil, ekonomi Malaysia sedang beralih kepada landasan yang betul,” tegas beliau.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan 'pintu belakang': Buat apa tanya saya, tanyalah PM mereka

Tubuh kerajaan baharu: Jangan jadikan pembangkang kambing hitam

Tubuh kerajaan ikut ‘pintu belakang’ gugat mandat rakyat

Baru-baru ini, wujud dakwaan gerakan 'pintu belakang' membentuk kerajaan baharu yang mengaitkan nama Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggerakkan usaha tanpa penglibatan dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu Amanah dan DAP.

Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Katanya, dakwaan mengaitkan namanya itu membuktikan PH mempunyai masalah dalaman antara satu sama lain sehingga sanggup menuduh berlaku gerakan mewujudkan kerajaan baharu itu.

Memetik laporan sebuah portal, nama Timbalan Presiden itu turut dikaitkan bersama Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.