KPKT sedang gubal SOP pinjaman wang secara digital

Zuraida Kamaruddin - Foto Bernama
Zuraida Kamaruddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) belum meluluskan permohonan Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang mahu menjalankan operasi pinjaman wang melalui kaedah digital.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pihak kementerian menerima beberapa permohonan daripada PPW yang kini dikenali sebagai Kredit Komuniti bagi tujuan tersebut.

"Ketika ini belum ada diluluskan lagi. Kita masih dalam tindakan menggubal akta atau prosedur operasi standard (SOP) yang membolehkan kita membuat pinjaman secara digital seperti Bigpay bukan secara konvensional.

"Kita lihat perkara ini secara positif kerana memudahkan transaksi antara peminjam dan pemberi pinjaman wang.

"KPKT juga akan memperketatkan kawalan antara PPW dan peminjam selain sedang menggubal Akta Kredit Pengguna bagi memberi lebih perlindungan kepada peminjam wang supaya tidak dianiaya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) berhubung mekanisme KPKT bagi memantau aktiviti PPW secara dalam talian.

Menjawab soalan lisan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai sindiket ceti haram atau ah long, Zuraida menjelaskan bahawa kes berkenaan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambahnya, KPKT bertindak ke atas PPW yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan dengan kompaun sebanyak RM5,000 bagi setiap kesalahan.

Artikel Berkaitan:

"Dari 2017 hingga 2019, sebanyak 1,416 aduan membabitkan Kredit Komuniti direkodkan yang mana 469 kes membabitkan pertuduhan di mahkamah, 291 kes dikenakan kompaun dan 299 kes tiada tindakan lanjut.

“Bagaimanapun kes ini lebih kepada kesalahan pentadbiran seperti tidak menghantar rekod, tiada dokumen dan sebagainya,” katanya.