Berebut masuk dalam 'lubang rahsia'

Salah seorang PATI wanita yang cuba sembunyi dalam lubang rahsia dibawa keluar oleh rakan serumahnya selepas kantoi dengan anggota penguat kuasa. - Foto Ihsan JIMT
A
A

DUNGUN - Taktik licik pekerja warga asing membina lubang rahsia dengan menebuk dinding rumah kongsi didiami untuk bersembunyi terbongkar dalam serbuan di tapak projek pembinaan Pusat Tahfiz di Paka di sini semalam.

Serbuan dijalankan Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia Terengganu (JIMT) dalam Operasi Bersepadu (Ops sapu/selera) di dua daerah termasuk Marang kira-kira jam 2 petang.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JIMT, Ahmad Salihin Salleh berkata, mereka dipercayai bersembunyi dalam lubang rahsia tersebut setiap kali rumah kongsi diserbu.

Katanya, semasa serbuan didapati sebahagian warga asing berebut untuk masuk ke dalam lubang rahsia itu terutama wanita.

"Sejurus masuk ke dalam rumah kongsi itu, didapati dua wanita sudah ada di dalam lubang rahsia tersebut sementara yang lain sedang menunggu giliran kerana laluan untuk masuk ke situ hanya boleh memuatkan satu individu sahaja.

"Hasil pemeriksaan mendapati rumah kongsi berkenaan didiami 12 warga Indonesia dan 11 daripada mereka iaitu lima lelaki berusia 20 hingga 37 tahun, lima wanita berusia 24 hingga 41 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 bulan, dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Siasatan awal mendapati lima daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan sosial, empat daripadanya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih tempoh dan selebihnya kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana tiada dokumen sah," katanya ketika ditemui hari ini.

Anggota Penguatkuasa JIMT sedang menyoal siasat ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh bulan di lokasi serbuan di Tapak Projek Pembinaan Pusat Tahfiz di Paka, Dungun. - Foto Ihsan JIMT
Anggota Penguatkuasa JIMT sedang menyoal siasat ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh bulan di lokasi serbuan di Tapak Projek Pembinaan Pusat Tahfiz di Paka, Dungun. - Foto Ihsan JIMT

Katanya, selain cuba bersembunyi di dalam lubang rahsia, ada yang nekad terjun di dalam sungai berhampiran semata-mata mengelak daripada dicekup.

"Selain terjun sungai, mereka memberanikan diri terjun ke dalam lombong berhampiran," katanya.

Katanya, dalam operasi bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 5 petang itu, pihaknya berjaya menahan 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia antara tujuh bulan hingga 44 tahun selepas melakukan pemeriksaan ke atas 68 pekerja warga asing di empat lokasi.

Jelasnya, lokasi serbuan termasuk sebuah Projek Pembinaan di Mukim Kuala Paka, Projek Pembinaan Pusat Tahfiz, kedai makan di Kampung Rhu Rendang, Marang dan sebuah kantin di pejabat kerajaan di Marang.

"Daripada yang ditahan, tujuh lelaki dan lima wanita warga Indonesia, 21 lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan seorang wanita warga Thailand serta dua lelaki warga Pakistan dikesan melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

"Pihak kami juga mengeluarkan borang 29 (saman saksi) kepada dua majikan untuk mereka hadir ke pejabat Imigresen bagi membantu siasatan," katanya.