Pembantu rumah Indonesia didera hingga buta

Anuar Othman.
A
A

IPOH - Polis berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa dera sepasang suami isteri sehingga buta sejak lapan tahun lalu.

Wanita berusia 29 tahun itu diselamatkan sepasukan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dalam satu serbuan di sebuah rumah Taman Kledang Emas, Ipoh, Ahad lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, maklumat awal diterima mendakwa mangsa telah dieksploitasi oleh majikannya sejak 2011.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, mangsa telah dipukul menggunakan rotan dan tangan, ditumbuk di muka serta tidak pernah dibenarkan pulang ke negara asalnya.

"Mangsa berada dalam keadaan trauma dan ketakutan semasa diselamatkan polis, siasatan terhadap mangsa kemudiannya menemui kesan luka lama di bahagian tubuh badan dipercayai dipukul.

"Muka mangsa juga bengkak dipercayai ditumbuk dan hilang penglihatan akibat dipukul oleh majikan sejak 2011 lalu," katanya.

Beliau berkata, majikan mangsa iaitu suami isteri masing-masing berusia 35 dan 36 tahun telah ditahan di kediaman itu pada hari sama serbuan dilakukan.

"Polis telah mendapatkan perintah reman bagi kedua-dua suspek bagi membantu siasatan yang dilakukan di bawah Seksyen 12 Akta Anti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (Atipsom) 2007," katanya.