142 mangsa banjir masih ditempatkan di PPS

Anggota Pasukan Bomba Sukarela membantu memindahkan mangsa banjir dari rumah mereka ke PPS yang dibuka.
A
A

BUTTERWORTH - Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 142 orang hari ini berbanding 225 orang hari sebelumnya, manakala dua daripada lima PPS di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) yang dibuka semalam telah ditutup.

Kesemua mangsa terlibat terdiri daripada 38 keluarga itu ditempatkan di dua PPS iaitu Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh melibatkan 111 mangsa daripada 30 keluarga dan PPS Tadika Kemas Kampung Manggis melibatkan 31 mangsa daripada lapan keluarga.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, keadaan di kedua-dua PPS masih terkawal dan kesemua mangsa diberi bantuan sewajarnya.

"PPS Dewan Orang Ramai PPR Tok Suboh menempatkan mangsa dari dua kawasan iaitu Permatang Tok Suboh dan Dewan Orang Ramai Kampung Teluk. Mereka terdiri daripada 62 orang dewasa, 40 kanak-kanak, dua bayi, enam warga emas dan seorang orang kurang upaya (OKU).

Kerajaan negeri menyediakan bot untuk kegunaan Pasukan Bomba Sukarela bagi membantu mangsa banjir.
Kerajaan negeri menyediakan bot untuk kegunaan Pasukan Bomba Sukarela bagi membantu mangsa banjir.

"Sementara itu di PPS Tadika Kemas Kampung Manggis pula, mangsa terdiri daripada 15 dewasa, 12 kanak-kanak, dua bayi, seorang warga emas dan seorang OKU," katanya ketika dihubungi tadi.

Semalam, sebanyak lima PPS dibuka di daerah SPT berikutan kawasan terlibat dinaiki air antara 0.3 meter dan 0.75 meter.

Taburan hujan yang tinggi adalah punca 47 kawasan di Lembangan Sungai Juru dan Sungai Junjong dinaiki air.

Kawasan yang menerima taburan hujan paling tinggi kelmarin adalah Permatang Rawa dan Berapit, dua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat sekiranya hujan lebat melebihi dua jam.

Akibat daripada hujan lebat itu, sistem perparitan di kawasan tersebut tidak dapat menampung jumlah air sehingga ia melimpah berikutan intensiti taburan hujan melebihi 100 milimeter (mm) dalam tempoh sejam.

Selain itu, muara sungai yang cetek, lambakan sampah sarap serta air laut pasang besar juga merupakan faktor kepada kejadian tersebut.