X

Kindly register in order to view this article
!

Taburan hujan tinggi faktor banjir kilat di Seberang Perai Tengah

Keadaan banjir di Bukit Mertajam sejak semalam. - Foto ihsan Penang Kini
A
A

SEBERANG PERAI TENGAH - Taburan hujan yang tinggi adalah punca 47 kawasan di Lembangan Sungai Juru dan Sungai Junjong dilanda banjir kilat semalam.

Kawasan yang menerima taburan hujan paling tinggi semalam adalah Permatang Rawa dan Berapit yang mana dua kawasan tersebut kerap berlaku banjir kilat sekiranya hujan lebat melebihi dua jam.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari berkata, akibat daripada hujan lebat itu sistem perparitan di kawasan tersebut tidak dapat menampung jumlah air sehingga ianya melimpah.

Menurutnya, intensiti taburan hujan melebihi 100 milimeter (mm) dalam tempoh sejam selain sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung air hujan menyebabkan limpahan air berlaku.

Jelasnya, selain itu, muara sungai yang cetek, lambakan sampah sarap serta air laut pasang besar juga merupakan faktor kepada kejadian tersebut.

"Air laut pasang yang bermula jam 1 hingga 5 petang semalam memburukkan lagi banjir di daerah ini. Selain itu, taburan hujan yang tinggi iaitu 203 milimeter (mm) berbanding biasa 60 mm adalah disebabkan peralihan angin monsun Barat Daya ke Timur Laut.

"Keadaan ini selalunya berlaku pada hujung September hingga awal November. Faktor-faktor inilah yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan ini," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini tadi.

Zairil berkata, kerajaan Pulau Pinang sedang dalam usaha menjalankan beberapa projek untuk menangani masalah banjir kilat di kawasan Bukit Mertajam.

"Ketika ini tiga projek tebatan banjir yang paling besar sedang dijalankan di daerah SPT iaitu Projek Tebatan Banjir Parit 4 membabitkan kos RM17 juta, Projek Tebatan Banjir Parit 5 bernilai RM13.5 juta dan Projek Tebatan Banjir Permatang Rawa dengan kos RM29 juta.

"Tiga projek itu sedang dilaksanakan yang mana, perkembangan projek pada waktu ini mencapai 50 peratus. Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang pertengahan tahun hadapan.

"Oleh itu, dalam tempoh proses pembinaan projek ini, sudah tentu ia tidak dapat menampung kejadian banjir yang berlaku," katanya.

Beliau berkata, selain tiga projek tersebut, terdapat dua projek tebatan banjir yang akan dilaksanakan iaitu di Jalan Tembikai dan rumah pam di Alma, Bukit Mertajam.

"Projek di Jalan Tembikai membabitkan kos RM4 juta iaitu pembinaan ban sepanjang satu kilometer manakala rumah pam di Alma bertindak untuk mengepam air ke kolam serta projek kolam takungan air bernilai RM10 juta.

"Kerajaan Pulau Pinang juga meluluskan peruntukan segera RM1 juta untuk mendalamkan muara Sungai Juru yang semakin cetek.

"Ia disebabkan berlaku mendapan di kawasan berkenaan sehingga kedalamannya hanya 1.5 meter sahaja. Dengan usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat, saya berharap penduduk yang terjejas bersabar sehingga semua usaha ini siap," katanya.

Sehingga jam 3 petang tadi, 66 orang daripada 15 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan Surau Kampung Pisang.

39 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di Surau Kampung Permatang Tok Suboh sejak semalam selepas hujan lebat lebih enam jam.

ARTIKEL BERKAITAN: 194 mangsa banjir di empat PPS Seberang Perai Tengah


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf