194 mangsa banjir di empat PPS Seberang Perai Tengah

Keadaan banjir Kampung Permatang Rawa selepas hujan lebat sejak semalam. - Foto ihsan Penang Kini
A
A

BUKIT MERTAJAM - Sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Seberang Perai Tengah melibatkan 194 mangsa termasuk empat bayi selepas hujan lebat lebih enam jam sejak petang semalam.

Keempat-empat PPS itu dibuka melibatkan PPS Dewan Perda Timur, Dewan Orang Ramai Bukit Teh, Surau Kampung Pisang dan Kampung Permatang Tok Suboh berikutan kawasan terlibat dinaiki air antara 0.3 meter dan 0.75 meter.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 46 keluarga yang dipindahkan sejak jam 7 malam semalam hingga 3 pagi tadi dengan PPS pertama dibuka iaitu Dewan Perda Timur pada 7 malam semalam yang menempatkan dua keluarga melibatkan 11 mangsa dari Kampung Permatang Rawa termasuk seorang bayi lelaki berusia 2 bulan.

"Di Dewan Orang Ramai Bukit Teh, ia menempatkan 22 mangsa termasuk seorang bayi perempuan berusia enam bulan dari empat keluarga. Sementara itu, di Surau Kampung Pisang pula, seramai 66 orang daripada 15 keluarga telah dipindahkan.

"Bagi PPS Kampung Permatang Tok Suboh pula, ia menempatkan 96 orang termasuk dua bayi perempuan. Mereka ini terdiri daripada 25 keluarga," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, walaupun kesemua PPS yang dibuka belum ditutup setakat ini, namun keadaan banjir dilaporkan masih terkawal.

Beliau berkata, sehingga pagi tadi, mangsa banjir termasuk 51 orang kanak-kanak telah dipindahkan ke pusat pemindahan berada dalam keadaan baik.