X

Kindly register in order to view this article
!

Gojek bebas tawar perkhidmatan penumpang lain jantina

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat pelaksanaan teksi motosikal atau GoJek bebas menawarkan perkhidmatan kepada penumpang berlainan jantina dengan pemandu tanpa perlu merujuk kerajaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaafar (PH-Bandar Tun Razak) berkata, secara umumnya pelaksanaan pindaan ke atas undang-undang sedia ada berkenaan industri penghantaran barangan dan teksi tidak menyentuh isu patuh syariah secara langsung.

Menurutnya, secara umum, kerajaan tidak akan memuktamadkan perkhidmatan teksi motosikal dan syarikat e-hailing perlu memenuhi aspek patuh syariah dalam bentuk perundangan setakat ini.

"Tentang patuh syariah atau tidak, setakat ini secara umumnya (pindaan) undang-undang bakal diluluskan setelah dipersetujui Jemaah Kabinet tidak menyentuh secara perkara itu.

"Mengenai isu kegusaran membenarkan pemandu atau penunggang motosikal satu jantina dan menjadi penumpangnya jantina lain, ini tidak akan dimuktamadkan dalam bentuk perundangan setakat ini.

"Tertakluk kepada syarikat untuk mengendalikannya atau pilihan diberikan secara bebas kepada penumpang untuk membuat pemilihan perkara itu sewaktu menempah motosikal secara atas talian," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Salim Mohd Sharif(BN-Jempol) bertanyakan sama ada kerajaan akan menekankan aspek patuh syariah sebelum melaksanakan perkhidmatan GoJek di negara ini.

Terdahulu sewaktu menjawab soalan lisan Mohd Salim mengenai perkembangan terkini berhubung cadangan pelaksanaan GoJek dan jaminan keselamatan terhadap penunggang dan pembonceng, Kamaruddin menegaskan perkara itu akan dikawal selia dan dilesenkan kerajaan.

Menurutnya, pengawal seliaan GoJek melibatkan pindaan ke atas undang-undang sedia ada iaitu Akta Pengangkutan Awam 2010, Akta Lembaga Kenderaan Perdagangan 1987, Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah berkain undang-undang berkaitan.

Kementerian akan memaklumkan semula mengenai rangka perundangan dan syarat perkhidmatan apabila proses kajian berkenaan dimuktamadkan dan mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus