Kes rogol Paul Yong: Mangsa dibenar beri keterangan secara tertutup

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Mangsa kes rogol membabitkan Exco Kerajaan Perak akan dipanggil sebagai saksi utama pada prosiding perbicaraan kes itu yang akan bermula pada 11 November depan.

Bagaimanapun keterangan wanita warga Indonesia berusia 23 tahun terbabit hanya dijalankan secara tertutup berikutan membabitkan maklumat sulit yang tidak boleh didedahkan kepada umum.

Perkara itu telah dipersetujui kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan pada sebutan pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.

Pihak pembelaan sebelum itu memohon budi bicara mahkamah untuk memberikan kelapangan satu hari pada prosiding perbicaraan berlangsung iaitu pada 12 November bagi membolehkan anak guamnya hadir ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Hakim Norashima Khalid yang sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan selama lima hari kemudiannya membenarkan perbicaraan dijalankan selama empat hari sahaja iaitu pada 11, 13, 14 dan 15 November depan.

Paul Yong, 49, didakwa merogol mangsa yang juga pembantu rumahnya dalam sebuah bilik tingkat atas rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azhar Mokhtar, Ainul Wardah Shahidan dan Naidatul Athirah Azman manakala tertuduh dibarisi Peguam Leong Cheok Keng, Datuk Rajpal Singh dan Farhan Sapian.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu Azhar memberitahu mahkamah bahawa mangsa dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi dan mencadangkan agar keterangan saksi dilakukan menerusi persidangan video tanpa hadir secara fizikal di mahkamah.

Namun ia dibantah barisan pembelaan yang memberikan hujah bahawa akta berkenaan tidak terpakai terhadap mangsa yang bukannya tertakluk di bawah umur tetapi sudah pun berusia 23 tahun.

Mahkamah kemudiannya membenarkan prosiding secara tertutup dijalankan dengan hanya dihadiri anggota mahkamah, peguam, saksi, pihak terbabit dan orang yang diberi kebenaran untuk hadir pada hari berkenaan.

Dalam sebutan pengurusan kes hari ini, pihak pembelaan turut memohon kepada mahkamah untuk mengkaji dan menarik balik pertuduhan merogol terhadap Paul Yong selepas laporan kimia yang diserahkan tidak menemui DNA atau air mani tertuduh pada semua item yang dirampas termasuk baju, seluar dan seluar pendek tertuduh.

Azhar yang ditemui pemberita menjelaskan, pihaknya mempunyai kesaksian lain yang boleh mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan seperti keterangan mangsa dan saksi yang terlibat menyelamatkan mangsa.

"Kami di pihak pendakwaan mempunyai bukti kuat selain daripada laporan kimia itu," katanya.

Terdahulu, kira-kira 200 penyokong dengan sebahagiannya membawa plakad menyambut ketibaan wakil rakyat DAP itu di hadapan pintu masuk mahkamah.

Mereka turut melaungkan 'Hidup Paul Yong' sebagai tanda sokongan terhadap pertuduhan.

Paul Yong kemudian bersalaman dengan penyokongnya sambil mengucapkan terima kasih.