Zidane risau Mourinho 'cantas' jawatannya di Real Madrid

Zidane
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane mengakui risau dengan spekulasi bahawa dia akan dipecat dan bakal digantikan oleh Jose Mourinho dalam masa terdekat.

Menurut Zidane, dia menyifatkan spekulasi tersebut sedikit sebanyak mengganggu tugasnya ketika ini selain mengharapkan ia hanya sebagai khabar angin dan tidak akan terjadi.

"Dalam bola sepak, orang lupa dengan apa yang sudah anda lakukan pada masa lalu. Perkara paling penting adalah apa yang berlaku pada masa ini.

"Sudah tentu ia (spekulasi tersebut) menggangu saya apatah lagi waktu ini adalah detik yang sukar dan masa untuk fokus mengembalikan prestasi pasukan.

"Namun, apa yang boleh saya lakukan dengan spekulasi ini? Saya hanya boleh menutup telinga dan dalam masa sama saya perlu memberikan segalanya untuk pasukan," katanya.

Zidane kembali dalam tekanan selepas kekalahan 0-1 kepada Mallorca dalam saingan La Liga minggu lalu yang menyaksikan Real hanya berjaya meraih empat kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir di semua pertandingan.

Malah, Real turut beraksi hambar dalam saingan Liga Juara-Juara apabila tewas kepada Paris Saint Germain (PSG) dan hanya mampu meraih keputusan seri menentang Club Brugge.

Ekoran aksi hambar itu, Mourinho disebut bakal mengambil alih tempat Zidane apatah lagi bekas pengendali Manchester United itu juga mempunyai hubungan baik dengan Presiden Real, Florentino Perez.

"Buat masa ini, saya masih bertanggungjawab ke atas pasukan. Ia menjadi tugas saya untuk terus membimbing pemain dalam setiap perlawanan," katanya.