KPDNHEP Sabah rampas 3,334 jam tiruan

KPDNHEP
A
A

KOTA KINABALU - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah merampas 3,334 unit jam tangan tiruan bernilai RM54,226 dari dua premis di daerah ini dan Penampang.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, operasi yang dijalankan pada 15 dan 16 Oktober lalu di dua tempat berasingan telah berjaya merampas jam tangan yang disyaki tiruan berjenama Adidas, Casio G-Shock dan Baby-G.

Beliau berkata, pihaknya telah menjalankan risikan sejak beberapa minggu lepas sebelum berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika dan ingin mendapatkan keuntungan yang lebih mudah serta tinggi dengan menjual barangan yang disyaki tiruan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di premis pertama di sebuah pusat membeli-belah di daerah ini, pihaknya merampas 124 unit jam tangan pelbagai model jenama Casio G-Shock dan Baby-G, yang dipercayai tiruan dengan nilai rampasan dianggarkan RM6,076.

Beliau berkata, di premis kedua yang terletak di Penampang, sebanyak 1,705 unit jam tangan jenama Adidas dan 1,505 unit jenama Casio G-Shock dan Baby-G dirampas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM48,150.

“Kedua-dua premis itu menjual jam tangan berjenama popular seperti Adidas dan Casio kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengguna," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata, siasatan awal mendapati bekalan jam tangan ini diambil dari luar negara iaitu China.

Katanya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011, dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda RM10,000 bagi setiap barang atau penjara tiga tahun, manakala syarikat boleh didenda RM15,000 bagi setiap barang.

Beliau menasihatkan pengguna lebih berhati-hati dan bijak ketika membuat pembelian termasuklah pembelian secara dalam talian supaya tidak terpedaya oleh peniaga yang tidak beretika. - Bernama