25 produk dicipta UMK sedia dikomersialkan

Arham (dua dari kanan) menunjukkan baja organik yang dihasilkan menggunakan formulasi UMK.
A
A

KOTA BHARU - Pencapaian dalam bidang penyelidikan dan inovasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) semakin mendapat tempat dan membuka mata pemain industri di seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ts Dr Arham Abdullah berkata, sebanyak 25 produk yang dihasilkan bersedia untuk dikomersialkan.

Antara produk utama ialah, penghasilan baja Bio Char dikeluarkan pada tahun 2017 menggunakan fomulasi dari UMK sendiri dan sudah dilesenkan kepada satu syarikat untuk dipasarkan.

“Sejajar dengan misi dan visi UMK ini sendiri, setiap projek penyelidikan yang dijalankan mesti mempunyai impak tinggi kepada masyarakat dan juga pelajar bahkan negara.

“Setakat ini, Alhamdulillah banyak pencapaian membanggakan yang membuka lebih laluan dan kepercayaan kepada kami untuk menjalankan penyelidikan,” katanya kepada Sinar Harian.

Seterusnya, Arham berkata, UMK juga satu-satunya universiti yang berjaya menghasilkan kapsul madu kelulut dan ia mendapat sambutan di pasaran.

Katanya, kejayaan dalam penyelidikan dan inovasi yang dilakukan juga berkait rapat dengan sokongan pemain industri serta geran yang disediakan oleh kerajaan di samping bantuan pengurusan UMK.

“Setiap tahun UMK mendapat pertambahan geran. Pada tahun 2017 lebih RM3 juta, manakala tahun lalu sebanyak RM4.4 juta juga dan pada tahun ini RM5 juta.

“Untuk tahun ini kita memperoleh RM4 juta dan telah menjalankan 88 projek. Diharapkan sehingga penghujung tahun kita boleh mencapai target yang telah ditetapkan iaitu RM5 juta dan sehingga bulan Oktober 2019, kita telah menghampiri jumlah ini iaitu RM4.7 juta,” katanya.

Tambahnya, UMK juga menjangkakan pada tahun hadapan pihaknya mendapat pertambahan geran sehingga RM6 juta melibatkan 100 projek.

Katanya juga, seiring dengan UMK sebagai universiti keusahawanan, pihaknya sentiasa mengadakan perkongsian ilmu berkaitan penyelidikan inovasi pengkomersialan dan keusahawanan dengan berkongsi bersama pakar luar dengan mengadakan pelbagai siri syarahan seperti Coffee talk, Publication talk, Pengkomersialan talk dan Entrepreneurs talk.

Beliau juga memberitahu, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK) UMK yang juga Centre Of Excellent (COE) dibawah portfolio beliau telah menunjukkan kejayaan dalam kaji selidik dijalankan berdasarkan perolehan data.

“Bertitik tolak daripada itu kami telah mendapatkan geran dari kerajaan dan mewujudkan beberapa program membantu rakyat di Kelantan. Antaranya projek Ikan Lunak di Bachok bagi membantu isteri-isteri nelayan menjana pendapatan,” katanya.

Katanya, inovasi tersebut membolehkan orang ramai menikmati sajian ikan segera tanpa perlu dimasak atau dipanaskan, cuma tuang terus daripada bungkusan.

Selain itu, UMK menggunakan teknologi penghasilan tisu kultur bagi membantu penduduk orang asli menanam pisang secara lebih sistematik.