X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada lagi ghost smoke di pasaran tempatan

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada lagi kedai atau mana-mana peruncit yang dikesan menjual gula-gula ghost smoke selepas penjualan produk itu diharamkan pada 24 Julai lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chien Jen berkata, satu kajian makmal dilakukan Bahagian Kesihatan dan Kualiti Makanan di Kementerian Kesihatan tidak menemui bahan kimia yang dipercayai memudaratkan kesihatan di dalam produk tersebut.

Bagaimana pun menurutnya, gula-gula berkenaan akan mengeluarkan asap ketika dimakan yang kelihatan seperti merokok.

"Oleh sebab itu Kementerian Kesihatan mengeluarkan arahan untuk mengharamkan penjualan gula-gula ghost smoke berkuatkuasa 24 Julai bersama pihak kementerian.

"Pihak kementerian menyedari kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula ini, maka langkah-langkah pencegahan penjualan dilaksanakan.

"Antaranya menggerakkan anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan ke atas premis berkaitan di seluruh negara," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) berhubung langkah pencegahan penjualan ghost smoke dalam kalangan pelajar sekolah.