Pemuda lemas ketika mandi di Tasik Chin Chin

Ahli keluarga ketika melihat mayat R.Kishen yang ditemui lemas di bekas lombong Chin Chin, di sini pagi tadi. Gambar kecil: Mangsa R.Kishen
Ahli keluarga ketika melihat mayat R.Kishen yang ditemui lemas di bekas lombong Chin Chin, di sini pagi tadi. Gambar kecil: Mangsa R.Kishen
A
A
A

MELAKA TENGAH - Hasrat sebuah keluarga membuat persiapan perayaan Deepavali terbantut selepas menerima berita salah seorang ahli keluarga mereka ditemui mati lemas di bekas lombong, Tasik Chin Chin di sini hari ini.

Dalam kejadian lebih kurang jam 9.45 pagi, mangsa, R.Kishen, 20, dipercayai pergi ke kawasan terbabit bersama enam rakannya.

Difahamkan, mangsa bersama empat lagi rakan turun ke Tasik Chin Chin itu untuk bermandi manda sebelum tiga rakannya yang duduk di tepi tebing menyedari kehilangan mangsa.

Nenek saudara mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, dia yang berada di rumahnya di Kesang Jaya, Jasin sedang bersiap-siap untuk keluar membeli keperluan raya sebelum dimaklumkan anak saudara perempuan mengenai berita malang itu.

Menurutnya, mangsa yang sebelum ini bekerja di Johor Bharu pulang ke rumahnya sejak sebulan lalu dan tidak memberitahu kepada ahli keluarga yang lain dia pergi ke bekas lombong tersebut.

"Saya sedih sebab dia masih muda tapi telah pergi. Patutnya saya yang tua pergi dulu, lebih saya sedih sedih sebab dia pergi sebelum kami menyambut Deepavali.

"Sejak kecil lagi dia sekeluarga termasuk adik perempuannya tinggal bersama saya dan dia sebelum ini bekerja sebagai pengawal pulang ke Melaka untuk kami sambut Deepavali bersama," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Rahizam Ruzali berkata, pihaknya menerima aduan awam lebih kurang jam 10 pagi sebelum sebuah jentera bomba digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan enam anggota.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa berjaya ditemui di dasar lumpur dengan kedalaman empat meter oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Kubu setelah tiba di lokasi kejadian lebih kurang jam 11.56 pagi.

"Lebih kurang jam 11.58 pagi mangsa telah ditemui dengan jaraknya kira-kira 10 meter dari lokasi dia dipercayai hilang dengan gigi air," katanya yang mana operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin sebelum dituntut waris keluarga.