Wanita baharu tamat PhD ditemui mati di apartmen

Gambar haisan
Gambar haisan
A
A
A

SERDANG - Seorang wanita warga Bangladesh ditemui mati di sebuah apartment di Seri Kembangan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu selepas menerima panggilan pada jam 3.06 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa berusia 34 tahun dilihat berada dalam keadaan kemurungan ketika menghadiri majlis makan malam bersama rakannya.

"Rakan mangsa memaklumkan mangsa telah kematian ibu dan hanya tinggal bapa dan suaminya di kampung.

"Mangsa dikatakan tidak gembira untuk pulang ke Bangladesh atas masalah peribadi dan keluarga," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, mayat mangsa yang baharu tamat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam lulusan perniagaan itu ditemui penjaga apartment terbabit setelah dimaklumkan mangsa tidak dapat dihubungi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

"Siasatan masih dijalankan untuk memastikan punca kematian dan motif sebenar kejadian.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat," ujarnya.

Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)