Tanah Rizab Melayu di Kedah tidak terancam: Mukhriz

Mukhriz (kanan) berbual dengan Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Kedah, Datuk Dr Ismail (kiri) pada Sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Mukhriz (kanan) berbual dengan Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Kedah, Datuk Dr Ismail (kiri) pada Sidang DUN Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memberi jaminan Tanah Rizab Melayu (TRM) di Kedah tidak akan berkurangan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau menegaskan tanah berstatus TRM di negeri itu bukan hanya terus dipertahankan malah sebaliknya kini kian ditingkatkan.

"Secara umumnya, walaupun dengar tanpa bukti dan fakta jelas bahawa jumlah tanah berstatus TRM di seluruh Malaysia makin menurun.

"Bagaimanapun sukacitanya dilaporkan bahawa tanah berstatus TRM di Kedah sebenarnya makin meningkat melalui proses 'swapping," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas soalan tambahan dikemukakan Muhammad Sanusi Md Nor (Pas-Jeneri) berkaitan usaha kerajaan negeri untuk mempertahankan tanah berstatus TRM pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-14 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah tanah berstatus TRM itu makin bertambah susulan amalan di Kedah yang mana jumlah tanah digantikan lebih lima peratus tambahan dari jumlah tanah asal berikutan proses itu.

"Sehubungan itu saya yakin jumlah tanah berstatus rizab Melayu di Kedah tidak akan berkurangan," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, KXP Airport City Holding Sdn Bhd selaku agensi pelaksana projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) belum mengemukakan proses permohonan untuk proses 'swapping' kepada Pejabat Tanah Kuala Muda.

Artikel Berkaitan:

Katanya, proses 'swapping' hanya akan dilakukan apabila proses pengambilan tanah selesai dan apabila hak milik tanah dikeluarkan kepada pemaju, namun KHXP Airport City Holding Sdn Bhd telah memulakan usaha mengenalpasti tanah-tanah penggantian tanah luar simpanan Melayu.

Mukhriz berkata demikian ketika mengulas soalan berhubung sama ada proses 'swapping' telah dilakukan untuk pembinaan KXP dan kawasan perindustrian baru yang difahamkan akan dibangunkan di tanah berstatus TRM berkeluasan lebih 3,500 hektar.

Mengulas lanjut langkah diambil Kerajaan Kedah untuk mengatasi jika tiada tanah seluas itu untuk proses 'swapping', Mukriz berkata, isu terbabit tidak timbul.

Mukhriz turut memberitahu bahawa Kerajaan Kedah tidak pernah melantik mana-mana pihak swasta untuk melakukan kerja ukur tanah di kawasan dibangunkan di KXP dan Taman Teknologi Tinggi Sidam.

"Saya dimaklumkan ada pihak menawarkan perkhidmatan itu yang mana untuk memecahkan tanah samada untuk menjual petak-petak itu atau menawarkan kepada Kerajaan Kedah sewaktu proses pengambilan tanah dilakukan.

"Sebaliknya, ia dilakukan tanpa pengetahuan dan kelulusan kerajaan negeri, yang mana kita tidak galakkan aktiviti itu, malah kita tidak tahu mana datangnya petak-petak tanah yang ditularkan itu," katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Robert Ling (PKR- Sidam) adakah Kerajaan Kedah melantik orang tengah untuk menjual tanah di KXP.