Tak perlu tubuh RCI kes jual MyKad, kata Mohd Aziz

Keratan artikel yang disiarkan Sinar Harian sebelum ini berhubung kes penjualan MyKad di Pulau Pinang.
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi kes penjualan MyKad.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Aziz Jamman berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberikan kuasa penuh bagi menyiasat kes tersebut secara menyeluruh agar pihak yang didapati bersalah dapat didakwa.

"Sehubungan itu buat masa ini, tiada keperluan untuk menubuhkan RCI berasingan bagi menyiasat kes berkenaan.

"Tapi di masa akan datang kita tidak tahu bergantung kepada kerajaan," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan P Kasthuriraani (PH- Batu Kawan) secara bersekali daripada lima ahli Parlimen lain berhubung permohonan kewarganegaraan dan kes penjualan MyKad kepada warga asing.

Mohd Aziz berkata, berhubung kes penjualan MyKad di Pulau Pinang sebanyak 20 tangkapan dilakukan dengan enam didakwa manakala bakinya masih dalam siasatan pihak berkuasa.

"Saya amat pasti, beri sedikit masa kerana lebih ramai akan ditangkap.

"Kita serahkan kepada pihak polis untuk meneruskan siasatan ini tanpa gangguan daripada mana-mana pihak.

"Insya-ALLAH, saya yakin hasil daripada siasatan ini kita akan lihat nanti, ada keperluan penubuhan RCI atau tidak bergantung kepada hasil siasatan PDRM," katanya.