Kemas tambah 50 Tabika Transit

Datuk Amiruddin Ariffin
Datuk Amiruddin Ariffin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelaksanaan Tabika Transit di Taman Bimbingan Kanak-Kanak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Tabika Kemas) akan diperluaskan di seluruh negara dengan penambahan 50 lagi tabika pada tahun ini.

Ketua Pengarah Kemas, Datuk Amiruddin Ariffin, berkata, pada masa ini sebanyak 27 buah kelas rintis Tabika Transit telah beroperasi pada tahun lalu.

“Tabika Transit beroperasi bermula jam 1 petang hingga 5.30 petang dan diuruskan oleh Jawatankuasa Aktiviti Tabika dengan kawalan dan Pemantauan Kemas.

“Sebanyak 50 lagi akan ditambah melibatkan kawasan dalam bandar dan pinggir bandar di mana kawasan-kawasan ini kebanyakan ibu dan bapa bekerja, jadi ia akan memberi kemudahan kepada mereka.

“Kadar bayaran bagi Tabika Transit adalah antara RM100 hingga RM250 bergantung kepada jumlah kanak-kanak,” katanya sempena lawatan rasmi ke Tabika Kemas Kuaters Kakitangan Kerajaan, Jalan U-Thant, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak tujuh lagi Tabika Kemas akan dibina di seluruh negara tahun ini menerusi peruntukan pembangunan berjumlah RM9.8 juta.

“Tabika Kemas yang akan dibina masing-masing di Selangor, Terengganu, Sabah, Sarawak dan 3 di Kedah,” katanya.

Sehingga 2 Januari 2019 seramai 202,349 kanak-kanak telah mendaftar ke Tabika Kemas dan seramai 9,749 kanak-kanak lagi ke Taska Kemas seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Jumlah kelas Tabika Kemas yang beroperasi adalah sebanyak 11,082 buah dan kelas Taska Kemas adalah 505 buah.