Agong zahir ucapan tahniah kepada Dr Serena

AGONG
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada saintis Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Serena Nik Zainal atas pencapaian meraih anugerah Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner 2019.

Seri Paduka berbangga rakyat Malaysia memenangi anugerah berprestij itu dan menyifatkan Dr Serena sebagai contoh berikutan sumbangannya dalam bidang penyelidikan kanser.

“Kerja keras, bakat dan penyelidikan bersejarah Dr Serena menjadi sumber inspirasi kepada rakyat semua. Berbekalkan kecekalan dan etika kerja yang cemerlang, kita semua dapat mencapai kejayaan sebagaimana yang jelas ditunjukkan Dr Serena.

“Saya ucapkan selamat maju jaya buat beliau, semoga kejayaan cemerlang berterusan dalam merintis penyelidikan kanser yang akhirnya akan dapat membantu pesakit kanser,” menurut kenyataan Istana Negara di sini hari ini.

Media melaporkan, Dr Serena memenangi anugerah tersebut di University of Bern di Switzerland pada Jumaat, atas kejayaan menjalankan kajian untuk mempercepat penafsiran holistik genom kanser.

Dr Serena merupakan siswazah perubatan di Unit Penyelidikan Kanser, University of Cambridge di bawah tajaan Petronas. - Bernama