Lima remaja ditahan lumba haram

Antara remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan malam tadi.
Antara remaja yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan malam tadi.
A
A
A

BUTTERWORTH - Lima remaja ditahan ketika Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini malam tadi.

Operasi yang dilakukan Skuad 42 Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seberang Perai Utara (SPU) itu dibuat selepas mendapati lima remaja terbabit berlumba dengan melakukan pelbagai aksi berbahaya di lebuh raya berkenaan.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua remaja itu menunggang motosikal secara melulu, membahayakan kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Menurutnya, mereka juga dilihat menunggang motosikal sambil menundukkan kepala serta melakukan aksi zig zag dari Plaza Tol Bagan Ajam menghala ke lampu isyarat Terminal Kontena Butterworth Utara, Butterworth (NBCT) dan kemudian berpatah balik ke arah Rumah Tol BORR Bagan Ajam.

"Anggota polis yang mengekori mereka bertindak menahan mereka yang berusia di antara 13 hingga 18 tahun.

"Salah seorang daripada mereka bekerja sebagai pembantu restoran manakala yang lain sudah tidak lagi bersekolah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Noorzainy berkata, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah SPU untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan merbahaya.

Artikel Berkaitan:

"Selain saman yang dikeluarkan kesemua penunggang itu diberi amaran supaya tidak melakukan aktiviti itu di kawasan berkenaan atau bakal berdepan tindakan yang lebih tegas," katanya.