Rokok seludup bernilai lebih 2 juta dirampas

Noor Azman (dua dari kiri) menunjukkan rokok yang dirampas dalam operasi berkenaan.
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 11,050 karton rokok seludup bernilai lebih RM2 juta selepas menahan sebuah lori di Lebuhraya Pasir Gudang menghala Johor Bahru di sini awal pagi semalam.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Superintendan Noor Azman Jamal berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, pemandu lori berkenaan yang juga lelaki tempatan berusia 40 tahun turut ditahan.

Menurutnya, operasi dijalankan dengan kerjasama Pasukan Khas PPM Bukit Aman dibantu Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Johor Jaya hasil risikan serta maklumat awam.

"Kita telah menahan sebuah lori lima tan jenis Isuzu yang dipandu seorang lelaki. Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 221 kotak berwarna coklat yang mengandungi 11,050 karton rokok tidak sah cukai.

“Siasatan awal mendapati kesemua rokok ini untuk dipasarkan,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Marin (Pulamar) Tampoi di sini hari ini.

Noor Azman berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 38 tahun dalam sebuah kereta jenis Toyota Altis dipercayai menjalankan tugas sebagai tonto bagi mengawal keselamatan lori berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dilakukan buat masa ini kita percaya modus operandi penghantaran ini adalah dengan menggunakan tonto,” katanya.

Beliau berkata, kesemua barangan rampasan membabitkan rokok dan dua kenderaan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang tanpa kelulusan daripada kastam.