Potensi pertumbuhan ekonomi belum direalisasi sepenuhnya: Azmin

Mohamed Azmin
A
A

MUAR - Potensi pertumbuhan ekonomi negara ini masih belum direalisasikan sepenuhnya berikutan struktur ekonomi masih dalam rantaian nilai rendah dan penggunaan teknologi yang terhad.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, aspek ini antara lainnya dapat dilihat apabila sumbangan pekerja mahir kepada jumlah guna tenaga hanya mencatatkan 27.2 peratus pada tahun lepas.

Justeru, menyedari kepentingan itu, beliau berkata, kerajaan telah menggubal Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai hala tuju baharu lebih holistik selain memberi suntikan baharu kepada ekonomi bagi menjamin pembangunan negara yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.

"Penstrukturan semula ekonomi negara akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi tinggi serta inovasi yang dirancakkan melalui pembangunan R&D (penyelidikan dan pembangunan).

"Ikhtiar ini akan memacu transisi ekonomi negara ke arah lebih progresif, berpaksikan ilmu dan bernilai tinggi dengan penyertaan masyarakat semua peringkat," katanya berucap merasmikan Hari Statistik Negara 2019 dan Sambutan 70 tahun Jabatan Perangkaan Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut Mohamed Azmin berkata, prinsip utama WKB2030 sepertimana ditegaskan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah memastikan Kesaksamaan Keberhasilan sebagai strategi ekonomi yang dapat menjamin keberhasilan sesuatu inisiatif dinikmati secara saksama.

"Oleh itu, metodologi mengumpul, menyusun dan menganalisis data dan statistik bagi memenuhi keperluan penggubalan dan pemantauan dasar perlu dilaksanakan secara saintifik, kreatif dan inovatif," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas itu, Mohamed Azmin berkata, ledakan teknologi Revolusi Perindustrian Ke-4 (IR4.0) telah melahirkan bidang kecerdasan buatan (AI) dan Analisis Data Raya yang kompleks serta memberi impak dalam landskap global yang terus berubah.

Menurutnya, potensi bidang kecerdasan buatan misalnya boleh digarap sepenuhnya apabila akses kepada data yang dijana, dapat ditingkatkan serta digembleng bersama kuasa pengkomputeran yang tinggi serta algoritma data yang pintar.

"Perkembangan inovasi ini membawa potensi yang besar dalam membuat unjuran trend, keutamaan dan permintaan pengguna serta keperluan rakyat dalam penggubalan dasar ekonomi yang berkesan," katanya. - Bernama