Padah lari sekatan polis

Kereta dipandu suspek terhumban ke dalam longkang selepas terbabas ketika melarikan diri daripada diperiksa polis. Gambar kecil: Suspek dan teman wanitanya berjaya diselamatkan selepas kereta mereka terhumban ke dalam longkang.
Kereta dipandu suspek terhumban ke dalam longkang selepas terbabas ketika melarikan diri daripada diperiksa polis. Gambar kecil: Suspek dan teman wanitanya berjaya diselamatkan selepas kereta mereka terhumban ke dalam longkang.
A
A
A

BUTTERWORTH - Tindakan seorang lelaki yang memecut kereta ketika anggota polis mahu membuat pemeriksaan akhirnya mengundang padah apabila kenderaan dipandu terbabas masuk ke dalam longkang di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, dua anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang membuat rondaan di Lebuhraya BORR melihat kereta yang dinaiki lelaki berkenaan bersama seorang perempuan berhenti di lorong kecemasan lebuhraya berkenaan sebelum pemeriksaan dilakukan.

Namun ketika anggota polis menghampiri kereta berkenaan, pemandu kereta berusia 19 tahun itu bertindak memecut kereta jenis Perodua Bezza menuju ke arah Sungai Dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kerana mahu meloloskan diri suspek turut merempuh palang di Plaza Tol Bagan Ajam dan tidak mengendahkan arahan anggota polis untuk menghentikan kenderaan.

"Suspek terus memecut menghala ke Sungai Dua namun apabila sampai di Kilometer 11.1 Lebuhraya BORR, kereta yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terlanggar seorang penunggang motosikal.

"Kedua-dua kenderaan tersebut terhumban ke dalam longkang di tepi lebuhraya. Akibat kejadian itu, penunggang motosikal yang bekerja sebagai penghantar makanan patah kedua-dua belah kaki," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Noorzainy berkata, suspek dan teman wanitanya tidak mengalami seberang kecederaan berjaya dikeluarkan dari kereta manakala penunggang motosikal yang cedera dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, suspek dan teman wanita berusia 25 tahun masing-masing sedang belajar di GiatMara di Kedah dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah malah tiada rekod jenayah lampau.

"Mereka yang sedang berdua-duaan dalam kereta mengakui terkejut dengan kehadiran polis sebelum bertindak memecut kereta kerana mahu melarikan diri," katanya.

Noorzainy berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu.