Derita tujuh tahun berakhir

Dr Sahruddin (tengah) berbincang dengan pihak terlibat ketika mengadakan lawatan kerja di Kampung Panjang Sari.
Dr Sahruddin (tengah) berbincang dengan pihak terlibat ketika mengadakan lawatan kerja di Kampung Panjang Sari.
A
A
A
PAGOH - Lebih 3,000 penduduk di empat kampung berhampiran mendapat khabar gembira selepas masalah banjir kilat yang berlaku sejak 2012 bakal diatasi.

Kampung berkenaan ialah Kampung Panjang Sari, Kampung Sri Makmor, Kampung Sari Baru dan Kampung Sri Meranti.

Exco Kesihatan, Pertanian dan Alam Sekitar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, setelah meneliti keadaan sesuai termasuk perbincangan bersama pihak terlibat, kerja-kerja menggali untuk membesar dan mendalamkan saiz beberapa parit di situ akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Menurutnya, projek itu akan diterajui oleh tiga syarikat bertanggungjawab iaitu Sime Darby Property, Sime Darby Plantation dan Syarikat Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

“Kejadian banjir kilat sejak beberapa tahun ini adalah disebabkan projek pembangunan yang pesat di kawasan ini. Perubahan landskap berlaku apabila lokasi yang dahulunya tertumpu kepada kebun kelapa sawit telah ditebang.

“Jadi keadaan itu tidak stabil kerana projek mega ini dibina di atas tanah tinggi sekaligus menyebabkan laluan air deras di kawasan rendah iaitu di empat buah kampung berhampiran ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, beliau ditemui ketika mengadakan lawatan kerja di Kampung Panjang Sari untuk melihat parit utama terlibat yang bakal dinaik taraf tidak lama lagi.

Turut serta dalam lawatan itu, Pengurus Sime Darby Plantation Bekalan Bukit Pagoh, Senin Sumirin dan Penghulu mukim, Mohd Ishak Khalil serta ketua-ketua kampung yang berkaitan.

Dr Sahruddin yang juga Adun Bukit Kepong berkata, tiga syarikat itu akan bekerjasama memperincikan projek berkenaan ekoran beberapa batang parit yang terlibat sememangnya berada di bawah penyelenggaraan mereka.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, beliau akan memastikan projek itu dilaksanakan segera ekoran keadaan cuaca meramalkan taburan hujan yang berpotensi mengakibatkan banjir kilat dalam masa terdekat.

“Pihak bertanggungjawab ini akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Saya harap, pertengahan Januari ini dah boleh mulakan.

“Ia melibatkan tiga atau empat parit yang akan dinaik taraf. Kita tak boleh lambat sebab cuaca sekarang pun agak membimbangkan selain kalau boleh nak segera tamatkan isu ini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Ishak mengakui masalah banjir kilat sering membebankan penduduk kerana dalam tempoh setahun, kejadian itu akan berlaku banyak kali.