Zahid yakin Hishammuddin tak terlibat komplot tubuh kerajaan baharu

Ahmad Zahid merakamkan gambar bersama pimpinan UMNO Selangor selepas merasmikan Konvensyen UMNO Selangor hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak terlibat dengan komplot bagi menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurutnya, pihaknya percaya Hishammuddin ikhlas untuk melihat UMNO bersatu padu dan semua pihak harus berusaha untuk mewujudkan kebersamaan antara parti-parti Islam dan Melayu di negara ini.

"Saya fikir itu (dakwaan tubuh kerajaan baharu) hanya satu perkara yang dituduh kepada dia.

"Dia tak begitu dan dia ikhlas untuk melihat UMNO terus bersatu padu," katanya selepas merasmikan Konvensyen UMNO Selangor 2019 yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO Selangor hari ini.

Sebelum ini, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan mendesak Hishammuddin menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan dua lagi parti komponen PH iaitu DAP dan Amanah.

Majlis Setiausaha PH menegaskan mereka berpegang teguh kepada Muafakat PH yang dipersetujui secara bersama oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan DAP untuk kekal dalam kerajaan PH yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah (Warisan) dalam Kabinet.

Bagaimanapun Hishammuddin sebelum ini telah menafikan dakwaan tersebut.