Thailand meterai perjanjian pindahan banduan dengan Malaysia, Ukraine

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Thailand bakal memeterai Perjanjian Pindahan Banduan dengan Malaysia dan Ukraine untuk membolehkan banduan berkenaan menjalani baki tempoh hukuman di negara mereka sendiri.

Ketua Pengarah Jabatan Pemulihan, Kol Pol Naras Savestanan berkata, di bawah perjanjian tersebut, Thailand membenarkan pindahan banduan asing untuk menjalani sebahagian daripada hukuman penjara di Thailand dan menjalani baki hukuman di negara mereka.

"Pada masa ini, Thailand menandatangani 38 perjanjian pindahan banduan dengan 38 negara dan setakat ini, sejumlah 1,199 banduan asing di Thailand telah dipindahkan untuk terus menjalani baki tempoh hukuman di negara masing-masing.

"Perjanjian seterusnya yang akan ditandatangani ialah dengan Malaysia dan Ukraine. Perjanjian itu dijangka ditandatangani tahun depan.

"Program berkenaan membolehkan banduan berada dekat dengan keluarga mereka semasa menjalani baki hukuman. Ia akan mempersiapkan mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat apabila dibebaskan, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Thailand memulakan program pindahan banduan pada 1990 dan telah memeterai perjanjian tersebut dengan negara asing termasuk Perancis, Sepanyol, Kanada, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Portugal, Poland, Denmark, Hong Kong, Austria, Filipina, Australia dan Nigeria. - Bernama

Artikel Berkaitan: