Tanah terbiar kekang tugas kutip cukai

Syahrul Nizam (lima, kiri) bersama 30 pembayar cukai pertama dan tetamu program, semalam.
Syahrul Nizam (lima, kiri) bersama 30 pembayar cukai pertama dan tetamu program, semalam.
A
A
A

KUALA LPILAH - Masalah tanah terbiar tanpa alamat pemilik antara punca kekangan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah mengutip cukai.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh berkata, hasil semakan juga mendapati terdapat pemiliknya yang gagal dikesan sejak tahun 1970-an sehingga menyebabkan mereka kehilangan lebih RM40,000 hasil cukai tanah.

Justeru itu, beliau berkata, pihaknya telah melancarkan satu kempen bagi mengesan pemilik tanah yang mempunyai tunggakan cukai.

Katanya, pihaknya turut bekerjasama dengan dengan Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan lain-lain agensi bagi memastikan kempen berjalan lancar.

"Waris-waris pemilik tanah yang telah meninggal dunia digalakkan kemas kini maklumat pembayar cukai dan menjalankan tanggungjawab menyelesaikan urusan tuntutan harta pusaka pemilik tanah tersebut," katanya selepas Kempen Moh Dogheh Bayar Cukai Tanah, semalam.

Hadir sama, Timbalan Pentadbir Tanah, Akmal Farid Rizal Noordin.

Beliau berkata, terdapat banyak medium boleh digunakan pemilik tanah atau waris untuk berhubung dengan pejabat daerah dan tanah Kuala Pilah bagi mengetahui secara terpeinci berhubung perkara itu.

"Sebagai contoh melalui telefon, media sosial seperti Facebook Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah atau unit hasil dan juga laman web rasmi kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis 6A iaitu Notis Tuntutan Hasil Terhutang berdasarkan Kanun Tanah Negara 1965.

"Kita telah keluarkan notis tersebut pada tahun 2018 sebanyak 314 yang mana 95 daripadanya telah membuat pembayaran.

"Notis tersebut dikeluarkan kepada mereka yang mempunyai tunggakkan melebihi RM200 ke atas," katanya.