Debat: Pemilihan, hujah perlu ikut disiplin, kata Dr Asri

Dr Mohd Asri
A
A

ARAU - Debat adalah satu latihan yang bagus kerana ia menjurus kepada kecergasan minda untuk menjawab hujah berkaitan sesuatu perkara.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, pemilihan tajuk yang baik sangat dituntut kerana tajuk yang menjurus kepada negatif mampu memberi kesan terhadap sesuatu perkara.

Menurutnya, namun begitu sekiranya perdebatan berkenaan dapat disampaikan dengan hujah yang baik dan pencerahan yang wajar ia tidak menjadi masalah.

"Kita cuma berasa bimbang sekiranya hujah-hujah berkenaan bakal memberikan impak yang sebaliknya," katanya.

Asri berkata, lebih baik adakan perdebatan mengenai isu negara seperti alam sekitar yang melibatkan masalah jerebu yang melanda setiap tahun.

"Sebagai contoh isu LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) mungkin ada pihak yang tidak bersetuju dengan perkara itu namun diberikan tajuk berkenaan dan secara langsung beliau terpaksa bersetuju bagi mempertahankan hujah berkaitan," katanya.

Terdahulu, satu pertandingan debat telah diadakan di Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR), Seremban, Negeri Sembilan.

Pertandingan berkenaan mendapat kecaman pelbagai pihak selepas tajuk perdebatan yang cuba untuk memesongkan akidah umat Islam.

Debat yang berlangsung pada 11 dan 13 Oktober itu meminta pelajar berhujah mengenai kecacatan dan kekurangan Al-Quran serta memaksa mereka menulis semula Al-Quran dengan membuang kandungan tertentu yang tidak liberal.

Selain itu, pendebat turut dipaksa berhujah bahawa homoseksual bukan satu dosa dalam Islam.