Memasyarakatkan kewangan Islam

A
A
A

DALAM al-Quran, ALLAH telah berfirman yang bermaksud: “ALLAH menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (al-Baqarah: 275).

Ayat di atas sangat berkaitan dengan kewangan Islam. Dalam bahasa lama atau yang diguna dalam kitab-kitab fiqh terdahulu sebelum terbitnya istilah kewangan Islam, ia disebut sebagai fiqh muamalat. Apapun istilahnya, dalam Islam apa jua bentuk pengurusan terhadap harta atau yang melibatkan transaksi kewangan, ianya hendaklah bebas daripada perkara haram. Antaranya adalah riba.

Atas kesedaran bahawa riba adalah haram serta ingin memartabatkan kewangan Islam di Malaysia, maka Bank Islam Malaysia Berhad telah ditubuhkan pada 1983. Bermula dari situ, dari masa ke semasa, bilangan institusi kewangan yang menawarkan produk perbankan Islam serta takaful makin meningkat. Bagi tujuan memastikan produk dan perkhidmatan yang diberikan adalah patuh Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menubuhkan Majlis Penasihat Syariah pada Mei 1997.

Malah bukan sahaja setakat itu, pasaran modal Islam juga turut direalisasikan dengan tertubuhnya Unit Pasaran Modal Islam di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada tahun 1995. Melihat kepada pentingnya mewujudkan satu jawatankuasa khas yang boleh membantu SC untuk memajukan sektor pasaran modal Islam di Malaysia, SC telah menubuhkan Kumpulan Penyelidikan Instrumen Islam (KPII). Antara fungsi KPII ialah menilai produk pasaran modal dan mengenal pasti isu Syariah bagi membolehkan mereka memberi cadangan yang berkesan kearah memajukan pasaran modal Islam di Malaysia. Bagi memperkasakan lagi pasaran Modal Islam, SC menubuhkan Majlis Penasihat Syariah pada tahu 1996 bagi menggantikan KPII.

Kerajaan sentiasa memberi sokongan padu dalam memartabatkan kewangan Islam di Malaysia dan seterusnya dalam menjadikan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Kewangan Islam. Dalam pembentangan Belanjawan 2020, kerajaan Malaysia sekali lagi melalui Kementerian Kewangan telah mengatur strategi ke arah mengembangkan lagi kewangan Islam di Malaysia dengan melantik Jawatankuasa Khas Kewangan Islam. Objektif utama jawatankuasa itu adalah untuk menggalak dan membangunkan ekosistem kewangan Islam.

Bagi tujuan meletakkan Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Kewangan Islam, jawatankuasa tersebut diberi dua amanah besar iaitu pertamanya merangka blueprint Ekonomi Islam yang merangkumi semua agensi berkaitan dan keduanya menganjurkan inisiatif outreach dan kursus profesional untuk meningkatkan kefahaman mengenai kewangan Islam di seluruh negara.

Pada pandangan saya, penubuhan jawatankuasa tersebut dilihat selari dengan salah satu daripada sembilan bidang tumpuan dalam Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 yang telah dilancarkan oleh BNM pada 21 Disember 2011 iaitu di bawah bidang tumpuan kelima: Mengantarabangsakan Kewangan Islam.

Merujuk kepada tanggungjawab pertama yang diamanahkan kepada Jawatankuasa tersebut, adalah menjadi harapan kepada saya dan semua rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam, Jawatankuasa tersebut dapat menghasilkan Blueprint Ekonomi Islam untuk semua agensi berkaitan. Jawatankuasa ini perlu merangka satu plan tindakan yang jelas termasuklah penetapan tujuan dan sasaran, penyusunan strategi, pelaksanaan program dan fokus kegiatan, serta langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh setiap unit dalam lingkungan kerja. Ibaratnya adalah seperti ingin membina sebuah rumah. Segala bentuk perancangan dan langkah-langkah yang perlu dibuat sehingga terhasilnya sebuah rumah hendaklah dinayatakan secara jelas dan lengkap dalam blueprint. Ia sudah tentu bukan satu tugas yang mudah. Ini kerana satu blueprint yang tidak mampu menampakkan kejayaan di atas kertas tidak mungkin akan membuahkan hasil di alam nyata.

Artikel Berkaitan:

Dalam usaha meningkatkan kefahaman terhadap kewangan Islam pula, jawatankuasa itu diberi tanggungjawab untuk menganjurkan inisiatif outreach dan kursus professional bagi meningkatkan kefahaman tentang kewangan Islam.

Program outreach atau saya tafsirkan sebagai 'memasyarakatkan kewangan Islam' perlu dipertingkatkan. Inisiatif itu sangat perlu bagi menangani salah faham terhadap perbankan Islam di Malaysia baik dalam kalangan muslim atau bukan muslim. Malah bukan sahaja kefahaman terhadap perbankan Islam sahaja yang perlu dipertingkatkan, tetapi juga memberi kesedaran kepada mereka betapa perlunya mereka melibatkan diri dalam pelaburan saham agar umat Islam dilihat tidak ketinggalan dalam sektor tertentu dalam kewangan Islam. Taklimat, seminar, kursus, forum, sukaneka, pertandingan dan sebagainya yang dibuat secara percuma untuk mereka amat perlu diusahakan oleh pelbagai pihak dengan bimbingan dan pemantauan oleh Jawatankuasa tersebut. Saya yakin kerajaan ada peruntukan khas terhadap inisiatif itu apabila ia disenaraikan dalam Belanjawan 2020.

Merujuk kepada kursus profesional, sebenarnya memang sudah banyak pihak telah melakukan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kefahaman tentang kewangan Islam sama ada untuk masyarakat awam atau golongan profesional termasuk yang terlibat sebagai penasihat Syariah di institusi kewangan yang menawarkan produk perbankan Islam dan Takaful.

Antara pihak yang terlibat dalam menawarkan kursus dan modul berkaitan kewangan Islam dalam skop dan sasaran yang tersendiri adalah Islamic Banking and Finance Institute Malaysia (IBFIM), ISRA Consultancy Sdn Bhd (ICSB), Association of Shariah Advisors in Islamic Finance (ASAS) dan Chartered Institute of Islamic Finance Professionals (CIIF).

Adalah diharapkan Jawatankuasa tersebut merangka strategi untuk menambah baik lagi segala bentuk inisiatif yang sedia ada. Adalah lebih baik membuat penambahbaikan kepada kursus profesional yang telah sedia ada daripada membina suatu yang baru. Ini kerana selain daripada menjimatkan kos, masa juga amat penting untuk diambil kira dalam mencapai harapan yang telah diletakkan oleh kerajaan agar kefahaman tentang kewangan Islam dapat ditingkatkan secepat mungkin. Apatah lagi dalam Pelan Sektor Kewangan Islam 2011-2020 dinyatakan tentang pelan untuk mengantarabangsakan kewangan Islam. Dalam merealisasikan pelan tersebut, usaha untuk meningkatkan tahap kepakaran pihak yang terlibat secara langsung dalam membangunkan produk kewangan Islam adalah sangat kritikal.

Akhir sekali, saya menaruh harapan tinggi kepada Jawatankuasa Khas Kewangan Islam yang baru dibentuk ini dapat memainkan peranan mereka sebaik mungkin dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memartabatkan kewangan Islam baik diperingkat tempatan atau peringkat antarabangsa. Sudah pasti mereka memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak dalam merangka Blueprint Ekonomi Islam dan menganjurkan inisiatif outreach dan kursus professional. Semoga Allah permudahkan urusan mereka dan diberi ganjaran sebaik-baiknya.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah