Tubuh kerajaan baharu: Jangan jadikan pembangkang kambing hitam

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) bahawa beliau menjadi dalang gerakan mewujudkan kerajaan baharu tanpa Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Hishammuddin berkata, PH terbukti mempunyai masalah dalaman antara satu sama lain sehingga sanggup menuduh berlakunya gerakan mewujudkan kerajaan baharu itu.

Menurutnya, keretakan PH jelas kelihatan namun cuba ditutup dengan menjadikan pembangkang sebagai kambing hitam.

“Tuduhan itu lagi tidak masuk akal. Saya tanya dia nak kempen apa, PRU (Pilihan Raya Umum) bukan esok, jadi saya tidak faham.

“Saya tengok bahawa apa yang berlaku sekarang satu signal bahawa semuanya tidak baik dalam Pakatan Harapan.

“Saya tidak akan benarkan BN (Barisan Nasional), UMNO atau Sembrong jadi kambing hitam kepada isu dalaman mereka sendiri,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Semalam PH menerusi kenyataan mendakwa Hishammuddin menggerakkan pakatan mewujudkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tak pernah bincang tubuh kerajaan tanpa Amanah, DAP: Ismail Sabri

Artikel Berkaitan:

Semai benih perpaduan Malaysia

Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir; dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Dakwaan itu disuarakan kerana penulisan Hishammuddin dan wawancaranya yang kelihatan cenderung memberi isyarat akan kembali kepada politik dan pentadbiran berasaskan kaum.

Mengulas lanjut, Hishammuddin menegaskan penulisannya sebelum ini berkisar tentang kesatuan, sama sekali tidak menyentuh tentang perkauman.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menegaskan tidak masuk akal menuduhnya menjadi dalang menghalang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Siapalah saya ini, saya tidak ada pegang apa-apa jawatan dalam parti kami pun, jadi nak mempengaruhi parti kita (UMNO) untuk sekat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri saya rasa tak masuk akal.

“Parti kita ini, parti pembangkang apa kena mengena dengan kedudukan Perdana Menteri? Jadi kenapa dia fokus kepada kita dalam BN dan UMNO melainkan kalau dia rasa nak jadi Perdana Menteri, dia perlukan sokongan BN dan UMNO.

“Kalau dia perlukan sokongan daripada kita saya nak tanya dia tak yakinkah dengan sokongan daripada partinya sendiri?” soalnya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Anwar semasa berucap dalam Dewan Rakyat semalam dilaporkan mengaitkan usaha pihak tertentu menghalangnya dengan menyentuh pembabitan Hishammuddin.