A
A

Beri kesan kemurungan, sakit mental dan memudaratkan pesakit berpenyakit kronik

IMPLIKASI sakit gigi kadangkala tidak terjangkau dek akal. Jangan dibiarkan sakit gigi yang kadangkala sebabnya hanya bermula dengan secebis alasan kecil... tidak membersihkan gigi dan mulut!

Setiap kali kita makan, secara semula jadi plak pada gigi akan terbentuk. Sekiranya mulut tidak dibersihkan dengan betul, ia akan menghasilkan asid yang mengotorkan gigi.

Rejim kesihatan oral yang betul memainkan peranan penting dalam mencegah kaviti. Amalan itu akan mengurangkan jumlah pengeluaran asid.

Apa tidaknya, gusi dan gigi kita mempunyai 'poket' yang mana semua bakteria terkumpul. Oleh itu, memberus gigi di semua celahan gigi dalam gerakan dan teknik yang betul adalah amat penting.

Malangnya, biarpun jutaan bakteria merenyut di dalam mulut, ramai enggan mengambil kisah. Barangkali disebabkan kedudukannya yang tersorok di dalam tempat mengunyah makanan itu.

Namun sedarilah, senyuman manis seseorang itu hanya akan tinggal kenangan sekiranya kesihatan oral dengan menghindar kaviti tidak diambil kisah.

Lebih menakutkan kaviti atau gigi berlubang yang tidak dirawat ibarat 'penyerang hendap' yang boleh memberi kesan pada masalah kesihatan.

Siapakah golongan yang bakal berdepan risikonya sehingga mampu meragut nyawa? Apakah langkah pencegahan sepatutnya? Ikuti perkongsian Sihat:Aktif minggu ini.

'Serangan hendap' kaviti

SEJAK sebulan lalu Azman Mohamad, 43, acap kali mengalami sakit gigi.

Kesakitan akibat denyutan pada gusi yang dialami pada mulanya boleh diatasi dengan makan panadol. Pun begitu, lama-kelamaan keadaan menjadi genting hingga dirinya sukar untuk tidur malam.

Mulanya penderitaan dihadapi disangka sakit biasa, namun 'bisanya' kian menjejaskan aktiviti hariannya.

"Patutlah sakit. Bila berjumpa doktor gigi, saya dimaklumkan bahawa akar gusi telah terkena infeksi hingga bernanah. Mahu tidak mahu, ia perlu dikeluarkan bagi mengelakkan masalah lain.

"Sakitnya hanya Tuhan yang tahu. Tanpa sengaja, saya boleh menjadi seorang yang bengis apabila disapa ketika dalam keadaan sakit," kongsinya dengan Sihat:Aktif baru-baru ini.

GIGI yang sudah berlubang boleh mengundang infeksi dan bahana.
GIGI yang sudah berlubang boleh mengundang infeksi dan bahana.

Ya, sakit gigi yang berkait dengan kaviti selalu dikatakan sakit paling biasa dihadapi oleh seseorang, namun penderitaannya diumpamakan seperti dipukul dengan cemeti.

Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir 100 peratus orang dewasa dan 60 hingga 90 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berpotensi menderita kaviti.

Secara dramatiknya, ia boleh memberi impak kepada kualiti hidup mereka melalui kesakitan dan ketidakselesaan.

Sementara itu, di Malaysia, Kementerian Kesihatan mendedahkan, sembilan daripada 10 orang dewasa di Malaysia dan 40 hingga 75 peratus kanak-kanak telah mengalami penyakit periodontal dan kaviti.

Persoalannya, sekiranya sudah sedia maklum bahawa sakit gigi terlalu mudah diperoleh, mengapa kita masih tidak mampu untuk menepisnya?

Merungkai jawapan berkenaan, Pengerusi Persekutuan Bebas Kaviti Masa Depan (ACFF) Malaysia, Prof Dr Rahimah Abdul Kadir melontarkan pandangannya.

Fasa kerosakan gigi

Untuk memahami fasa-fasa kerosakan gigi, perbezaan antara karies dan kaviti perlu difahami.

Terang Dr Rahimah, karies adalah penyakit gigi yang apabila tidak dikawal akan menimbulkan kerosakan atau kereputan gigi yang meninggalkan kesan sebagai satu kaviti atau lubang.

Karies menimbulkan kaviti apabila kadar keasidan yang dihasilkan oleh aksi 'baktri-sisa' makan dalam mulut berada pada bawah paras 5.5 terlalu lama.

"Asid akan menyebabkan permulaan demineralisasi atau kemusnahan tisu keras gigi (enamel). Ia merebak ke lapisan selanjutnya, dentin dan simentum serta menghasilkan kaviti.

"Peringkat permulaan sakit gigi adalah dari fisur gigi iaitu alurnya. Sisa makanan terperangkap dan terpendap dalam alur itu menjadi hidangan makanan bagi jutaan bakteria mulut," jelasnya kepada Sihat:Aktif semasa sesi wawancara Colgate-Palmolive & ACFF bersama media di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Justeru apakah tanda bermulanya penyakit karies gigi? Kata Dr Rahimah, berwaspadalah sekiranya gigi sudah mula ditandai dengan bercak-bercak putih.

Permukaan gigi sentiasa dilapisi oleh suatu membran lekit berasal daripada air liur yang dipanggil plak. Jika gagal menjaga higin mulut, bakteria dan sisa makanan akan tersangkut pada plak tersebut lalu memulakan proses pembentukan asid.

"Asid ini akan menyerang permukaan enamel gigi. Enamel gigi mempunyai struktur atau rangka yang unik dan dipenuhi dengan rangkaian elemen kimia kalsium, fosfat dan hidroksil.

"Malangnya, elemen hidroksil mudah dicairkan oleh asid yang terbentuk sehingga menyebabkan struktur enamel lemah. Sayangnya mata kasar kita tidak akan nampak proses itu berlaku. Apa yang kita nampak adalah bercak-bercak putih, tanda penyakit karies sudah mula aktif berlaku," katanya.

Jika bernasib baik, pada fasa itu kerosakan gigi masih boleh dirawat dengan teknik memberus dan penggunaan ubat gigi berflourida.

Jelas Dr Rahimah, ion flourida yang memenuhi mulut semasa kita memberus gigi akan menggantikan hidroksil yang menjadikan gigi lebih kuat.

Pun demikian, jika paras asid dalam mulut berada dalam waktu yang terlalu lama, proses penggantian ion hidroksil dengan flourida tidak akan seimbang.

"Hentaman asid mengakibatkan lapisan enamel bertambah rapuh dan tidak dapat dipulihkan. Ini penanda kaviti atau lubang sudah terbentuk. Itulah yang kita nampak dengan mata kasar. Pada peringkat ini, lubang itu perlu dibersihkan dan ditampal oleh doktor gigi dengan bahan lebih kuat dari sealen fisur," ujarnya lagi.

GIGI yang sudah berlubang boleh mengundang infeksi dan bahana.
GIGI yang sudah berlubang boleh mengundang infeksi dan bahana.

Infeksi

Jika kerosakan berterusan, peringkat ketiga akan melibatkan pereputan dentin iaitu lapisan gigi kedua yang terletak di bawah enamel.

Ia akan terjadi dengan lebih cepat disebabkan komposisi dentin adalah daripada elemen kimia organik yang lebih mudah dicairkan. Dentin juga mempunyai jejari saraf.

Menurut Dr Rahimah, disebabkan itu, kita berasa nyilu apabila dirawat dengan bahan tampalan yang lebih kuat.

"Sekiranya tidak dirawat, bakteria, sisa makanan dan asid akan terus menembus ke bahagian pulpa atau saluran akar gigi yang mana terdapat banyak salur darah dan jejari saraf yang halus. Disebabkan itu, kesakitan yang dialami sukar digambarkan. Denyutannya amat sangat hingga boleh jadi pesakit tidak dapat tidur atau menjalankan tugas harian. Tanpa disangka, seseorang itu boleh menjadi manusia yang agresif!," katanya.

Sama situasinya seperti yang dialami oleh Azman bukan? Jelas Dr Rahimah, mereka tidak mempunyai daya tahan yang tinggi, infeksi akar boleh bernanah.

Tambah beliau, sekiranya nanah tidak dibuang ia akan 'meneruskan perjalanannya' ke tulang rahang mulut dan bakal menghancurkan tulang sandaran kegigian itu.

"Pada tahap ini, anda mempunyai dua pilihan sama ada gigi dibersihkan dan diberi rawatan akar atau dicabut.

"Namun sedarilah, gigi pertama bila dicabut akan memulakan rentetan masalah gigi, mulut dan penyakit-penyakit kronik seumur hidup!," jelasnya.

Ancam sistem tubuh

Sekiranya sakit gigi dibiarkan, mampukah mengundang impak pada kesihatan? Pastinya, ya.

Kata Dr Rahimah, jangkitan boleh menghasilkan kesan sampingan seperti pening, demam, rahang yang bengkak dan sakit, kehausan, penyakit periodontal atau penyakit gusi.

"Kenaikan kadar pernafasan pula boleh membawa kepada serangan jantung, hati dan sakit perut!

"Sikap ambil mudah pemeriksaan berkala gigi boleh undang risiko pelbagai penyakit periodontium atau gusi, tumor gusi dan tisu lembut lain mulut, penyakit kanser mulut dan kecacatan muka," katanya.

Jika anda memikirkan mencabut gigi menjadi penyelesaian masalah, fikirkannya sekali lagi.

Bagi mereka yang mempunyai penyakit perubatan kronik, mencabut gigi boleh menyebabkan 'kecacatan' wajah muka. Justeru, ia sekali gus meningkatkan kemungkinan seseorang itu mengalami kemurungan dan penyakit mental lain kerana merasa harga diri 'terganggu', kata Dr Rahimah.

Mengulas bentuk rawatan boleh diberikan kepada pesakit gigi, ujar Dr Rahimah, ia terpulang kepada keperluan seseorang.

Sementara itu, pengamal perubatan pergigian Klinik Pakar Pergigian Bedah Mulut & Maksilofasial (OMFS), Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah Dr Mohd Khairul Izwan Abdul Wahab atau Dr Mohd Khairul juga tidak menafikan, bahaya masalah gigi bukan berakhir setakat sakit gigi.

"Ia boleh menjadi lebih serius daripada itu. Dengan gigi berlubang yang tidak dirawat itulah boleh melarat menjadi parah sehingga anda mengalami bengkak muka. Malah jika masih dibiarkan tanpa dirawat, mungkin boleh menyebabkan anda kehilangan nyawa juga!," katanya.

Kongsi Dr Mohd Khairul, salah seorang pesakit pernah yang dirawatnya mengalami bengkak separuh muka sebelah kiri sehingga melarat ke bahagian bawah leher. Dalam bidang pergigian, keadaan itu disebut sebagai Ludwig’s Angina.

Semuanya gara-gara pesakit tersebut tidak mengambil berat tentang kesihatan giginya. Giginya yang berlubang tidak dirawat dan kebersihan mulut tidak dijaga. Karang gigi dan sisa makanan penuh di dalam mulut.

"Semua itu mengundang jangkitan kuman. Kesannya pada gigi berlubang tidak dirawat boleh menghasilkan nanah (pus) yang banyak dan muka turut bengkak (facial cellulitis) kerana nanah terkumpul.

"Dengan prosedur incision and drainage (I&D), pipi pesakit perlu 'dibelah' sedikit untuk membuka jalan agar nanah dapat ditekan keluar," katanya.

Menurutnya, lebih mengundang bahana sekiranya pesakit mempunyai masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, kencing manis dan masalah kerosakan buah pinggang yang kronik. Sekiranya rawatan diberikan, penyembuhan pesakit barangkali berlaku sangat perlahan.

Semua keadaan itu boleh menyebabkan sistem pertahanan tubuh menjadi lemah dan jangkitan kuman pada bahagian mulut serta gigi lebih mudah berlaku.

Pesannya, jangan pula mencuba pelbagai petua menghilangkan sakit gigi tanpa mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik gigi.

Gabungan fluorida, arginina beri perlindungan terbaik

SELAMA ini jika bercakap tentang penjagaan gigi, pastinya ia tidak dapat lari daripada kepentingan penggunaan fluorida.

Pengarah Bersekutu Hub ASEAN Selatan Colgate-Palmolive, Tanya Teng berkata, bagaimanapun arginina merupakan bahan baharu yang bermanfaat untuk gigi.

"Kebanyakan produk hari ini bergantung kepada fluorida sahaja. Pun begitu, arginina digunakan dalam ubat gigi dengan kuasa amino juga memberikan perlindungan yang terbaik.

"Terdapat banyak kajian klinikal yang memperlihatkan prestasi unggul perlindungan dengannya jika dibandingkan ubat gigi berfluorida biasa. Ubat gigi perlindungan kaviti maksimum dengan kuasa amino misalnya boleh menawarkan empat kali lebih kuasa untuk menguatkan gigi," katanya.

TANYA bersama Dr Rahimah ketika sesi wawancara.
TANYA bersama Dr Rahimah ketika sesi wawancara.

Menariknya menurut Tanya, teknologi yang ditawarkan oleh kuasa amino jauh lebih baik berbanding apa yang boleh dilakukan oleh fluorida sahaja.

Tambahnya, apabila fluorida dan arginina digunakan bersama, ia dapat memberikan perlindungan gigi yang terbaik.

"Arginina membantu meneutralkan asid yang dihasilkan oleh plak gigi. Ia melawan asid yang terbentuk daripada gula dalam plak yang merupakan punca penyebab karies.

"Arginina selamat untuk digunakan oleh semua peringkat umur. Ia adalah sejenis asid amino yang dijumpai secara semula jadi dalam air liur kita yang boleh digunakan untuk melemahkan aktiviti bakteria jahat daripada menghancurkan gigi," katanya sambil menerangkan bahawa fluorida berfungsi membantu menambah kalsium semula jadi kepada gigi untuk menjadikannya lebih kuat.

ANEKDOT

Tip-tip penjagaan gigi

1. Berus gigi secara berdisiplin selepas makan dan sebelum tidur malam.

2. Guna ubat gigi berfluorida.

3. Berkumur dengan air biasa atau pencuci mulut selepas makan atau minum jika tidak berkesempatan memberus gigi.

4. Jangan berkongsi berus gigi. Tukar berus gigi jika bulu berusnya mula kembang.

5. Berkumur dengan pencuci mulut berfluorida sekali sehari sebelum tidur. Tapi mesti digunakan selepas beberapa minit memberus gigi, bukan sebaik sahaja selepas memberus gigi. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan tindak balas antara pencuci mulut dan ubat gigi.

Makan secara sihat:

1. Makan makanan seimbang. Lebihkan makanan seperti buah-buahan dan sayuran segar.

2. Elak menambah gula ke dalam minuman. Sekiranya anak menggunakan botol susu, pastikan minuman tersebut tidak mengandungi gula.

3. Elakkan minum minuman berkarbonat dan jus buah-buahan bergula.

Pemeriksaan pergigian secara berkala:

1. Berjumpa doktor gigi seawal usia satu ke dua tahun ke atas dan secara berkala.

2. Mereka berisiko tinggi mendapat kerosakan gigi (karies gigi), pemeriksaan lebih kerap diperlukan.

3. Segera dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor pergigian sekiranya mengalami masalah gigi.