Masyarakat Sabah faham perilaku gajah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Peranan masyarakat setempat amat penting dalam isu konservasi gajah di Sabah kerana golongan itu sering berdepan dengan kehadiran hidupan liar berkenaan, kata Pengarah Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina Othman.

Beliau berkata, sekiranya masyarakat setempat bersetuju untuk bertoleransi, maka peluang untuk gajah Borneo terus hidup di bumi Sabah adalah lebih besar.

“Saya yakin masyarakat kita sejak turun-temurun mempunyai ‘local knowledge’ yang diwarisi tentang bagaimana cara untuk hidup secara harmoni dengan alam semula jadi. Ini termasuk kebolehan memahami trend pergerakan dan perilaku gajah,” katanya kepada Bernama.

Nurzhafarina berkata, gajah adalah haiwan yang termasuk dalam spesies payung dan sekiranya habitat gajah dapat diselamatkan, maka banyak spesies haiwan lain turut dapat diselamatkan serta terjaga dengan baik.

Menurutnya, terdapat tiga populasi gajah di Sabah masing-masing di Kinabatangan, Tabin di Lahad Datu dan di kawasan hutan simpan di tengah Sabah dengan kira-kira 1,500 ekor gajah direkodkan setakat ini.

Nurzhafarina berkata, Seratu Aatai menggariskan empat cabang utama yang akan dilakukan secara holistik dalam membantu konservasi gajah Borneo termasuk mempromosi kewujudan bersama antara manusia dan hidupan liar itu dengan memahami punca konflik serta mengkaji kaedah berkesan bagi mengurangkan konflik.

Beliau berkata, Seratu Aatai juga konsisten memperkasa kemampuan dan kesedaran masyarakat setempat mengenai kepentingan untuk hidup berharmoni dengan gajah melalui pendidikan.

“Kita turut cuba meningkatkan perlindungan gajah dengan menyokong serta membangunkan kumpulan renjer gajah dalam komuniti selain menyokong program Honorary Wildlife Warden,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, Seratu Aatai menjalankan kajian saintifik bagi memahami kaedah untuk membina landskap yang mesra lawatan gajah terutama di luar kawasan dilindungi.

Bagaimanapun Nurzhafarina berkata, peranan masyarakat setempat masih sangat diperlukan terutama untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui atau melihat ada pihak tidak bertanggungjawab melakukan kegiatan pemburuan haram.

"Ini bagi membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan itu secara konsisten serta menjalankan siasatan terperinci supaya tindakan tegas dapat dikenakan kepada pemburu haram," katanya.

Mengulas insiden pembunuhan kejam seekor gajah pygmy di Kalabakan, Tawau, Nurzhafarina berkata, hukuman ke atas pemburu haram perlu dimaksimumkan bagi memberi pengajaran kepada individu tidak bertanggungjawab supaya tidak mengulangi kegiatan tersebut yang jelas mengancam populasi gajah.

“Jika kita terus leka dan hukuman dikenakan adalah minimum, saya bimbang ada pihak tidak ragu-ragu untuk meneruskan aktiviti pemburuan seperti itu. Kita perlu sentiasa bersedia dan berwaspada,” katanya.

Baru-baru ini seekor gajah pygmy ditemukan mati oleh sekumpulan pemancing di kawasan hulu Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan, Tawau dan hasil bedah siasat terhadap kematian gajah itu menemukan lebih 70 lubang pada badan, kaki dan kepala haiwan tersebut dipercayai kesan tembakan.

Tindakan pantas pasukan polis dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah melancarkan Op Khazanah membawa kepada penahanan lima warga tempatan dan seorang pendatang tanpa izin bersama lima laras senjata api, 59 butir peluru hidup, 53 kelonsong peluru serta gading gajah.

Sementara itu isu konflik manusia dan gajah di Sabah turut mendapat perhatian badan bukan kerajaan dan pengurusan ladang kelapa sawit di Tawau apabila mereka tampil memberi cadangan kepada pihak berkuasa termasuk kerajaan Sabah ke arah mencapai resolusi komprehensif dalam mengatasi konflik tersebut.

Ini termasuk cadangan dilontarkan Pengerusi Persatuan Bebika Pencinta Alam Tawau J Hamzah Ahmad sebelum ini yang mahu kerajaan negeri menjalin kerjasama erat dengan syarikat perladangan untuk mewujudkan lebih banyak koridor bekalan makanan hijau untuk gajah dan hidupan liar lain di Sabah.

Katanya, cadangan itu adalah sebahagian daripada langkah konservasi gajah khususnya di pantai timur Sabah selain dilihat sebagai pendekatan proaktif dalam mengurangkan konflik manusia dan gajah.

Hamzah juga mahu usaha dilakukan Sabah Softwood Berhad (SSB) dicontohi dan diperluaskan ke kawasan perladangan lain berikutan inisiatif itu mampu memberi impak positif dalam menyelamatkan hidupan liar di Sabah.

SBB adalah syarikat terawal di Tawau membina koridor hidupan liar seluas 1,000 hektar yang terletak di antara Ulu Segama dengan Ulu Kalumpang iaitu laluan 50 hingga 60 ekor gajah mencari makanan dalam sehari.

Bagi Pengarah Perladangan Felda Izham Mustaffa pula, pihaknya akan berbincang dengan JHL Sabah berhubung cadangan mewujudkan kawasan konservasi gajah di Kalabakan, Tawau, seperti terdapat di Pahang dan Perak bagi mengelakkan haiwan itu terus menjadi ancaman kepada tanaman kelapa sawit di Felda Umas.

Difahamkan terdapat lebih 40 ekor gajah dewasa di dalam kawasan ladang Felda Umas yang mengancam ladang kelapa sawit selain turut masuk ke perkampungan sehingga mengganggu kehidupan penduduk. - Bernama