Laksanakan tindakan menyeluruh tangani isu pelajar terjebak vape

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu melakukan tindakan secara menyeluruh dalam menangani isu pelajar sekolah terjebak dengan penggunaan vape dan bukan hanya fokus pada penguatkuasaan undang-undang serta pelaksanaan cukai semata-mata.

Penganalisis ekonomi dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaksanaan cukai ke atas vape, walaupun ia memberi kesan kepada pelajar berikutan berlaku peningkatan harga, namun kesannya disifatkan terlalu kecil.

Dari sudut lain katanya, cukai dikenakan itu hanya akan menyebabkan majoriti peniaga vape yang terdiri daripada kaum bumiputera akan terjejas.

“Ini dilemanya, kerajaan akan selamatkan satu pihak tetapi satu pihak lain akan menerima impak berlainan pula.

“Oleh itu, apa yang sepatutnya difikirkan juga oleh kerajaan, bagaimana untuk menyediakan bentuk perniagaan alternatif kepada bumiputera ini agar mereka boleh beralih daripada menjual vape kepada sektor perniagaan lain yang boleh menjana pendapatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pantau pelajar beli vape secara dalam talian

Ahmed Razman berkata, jika kerajaan tidak mengambil kira faktor itu, peniaga bumiputera pasti menentang kerana mereka menguasai pasaran dan akan melihat kerajaan seolah-olah 'mengenakan' mereka.

“Oleh itu, kerajaan harus melihat perkara ini secara menyeluruh dan penekanan lain yang harus diberikan juga adalah tentang penjelasan bahaya vape kepada kesihatan orang awam.

Artikel Berkaitan:

“Ia perlu diperhebatkan lagi kerana ketika ini, ramai beranggapan vape tidak bahaya, malah peniaga juga kata tiada bukti tentang dakwaan itu,” katanya.

Tegasnya, kerajaan perlu betulkan persepsi itu agar bukan sahaja penghisap vape tapi juga peniaga vape faham tentang perkara tersebut.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan di Dewan Rakyat, kira-kira 300,000 pelajar sekolah di seluruh negara didapati terjebak dengan penggunaan vape dan 50,000 daripada jumlah itu terdiri daripada pelajar perempuan.