Persatuan peruncit, SME desak tangguh kenaikan gaji minimum

Perniagaan khususnya SME dan peruncit tempatan kini berdepan peningkatan kos operasi, logistik, tenaga, sewa, inventori dan buruh, selain persaingan daripada jenama antarabangsa. Foto hiasan
Perniagaan khususnya SME dan peruncit tempatan kini berdepan peningkatan kos operasi, logistik, tenaga, sewa, inventori dan buruh, selain persaingan daripada jenama antarabangsa. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Enam persatuan peruncit dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) mendesak kerajaan menangguhkan sebarang kenaikan gaji minimum susulan tekanan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Gesaan itu dibuat menerusi kenyataan bersama pemimpin enam organisasi perniagaan, terdiri daripada Presiden Bumiputra Retailers Organization (BRO), Datuk Mohd Najib Abdul Hamid; Presiden Malaysian Retailers Association (MRA), Datuk (Dr.) Andrew Lim Tatt Keong, J.P.; dan Presiden Malaysia Retail Chain Association (MRCA), Datuk Liew Bin.

Kenyataan itu turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Mohd Syahnis Salleh; Presiden Federation of Sundry Goods Merchants Associations of Malaysia (FSGMAM), Hong Chee Meng; serta Presiden Malaysia Shopping Malls Association (PPKM), Phang Sau Lian.

Mereka berkata, perniagaan khususnya SME dan peruncit tempatan kini berdepan peningkatan kos operasi, logistik, tenaga, sewa, inventori dan buruh, selain persaingan daripada jenama antarabangsa.

Tekanan itu, kata mereka, turut dipengaruhi konflik berterusan di Timur Tengah yang menambah ketidaktentuan harga minyak, kos pengangkutan dan logistik serta tekanan inflasi di seluruh rantaian bekalan.

"Dalam keadaan itu, cadangan gaji minimum RM3,100 yang ketika ini diperjuangkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan meningkatkan kadar semasa RM1,700 sebanyak 82.4 peratus.

"Bagi perniagaan mempunyai 20 pekerja, kenaikan berkenaan akan meningkatkan jumlah gaji asas bulanan daripada RM34,000 kepada RM62,000, iaitu tambahan RM336,000 setahun," kata mereka dalam kenyataan bersama pada Khamis.

Jumlah itu, tambah mereka, belum mengambil kira caruman berkanun, kerja lebih masa dan kos berkaitan pekerjaan lain.

"Penambahan ketara itu boleh terus mengecilkan margin perniagaan dan menambah tekanan terhadap keadaan operasi yang sememangnya mencabar.

Artikel Berkaitan:

"Jika perniagaan tidak mampu menyerap kos tambahan, kos berkenaan akhirnya mungkin dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga, sekali gus menambah tekanan inflasi sedia ada," kata mereka lagi.

Sehubungan itu, mereka merayu kerajaan menangguhkan sebarang kenaikan pada ketika ini bagi memberi lebih banyak masa kepada perniagaan mengharungi ketidaktentuan ekonomi semasa.

Mereka berpandangan, kerajaan wajar memberi ruang sehingga keadaan geopolitik stabil dan harga tenaga kembali ke paras lebih mampan, sekitar AS$70 setong, sebelum mengenakan beban kos tambahan yang ketara terhadap perniagaan.

"Pada masa sama, kadar gaji minimum semasa RM1,700 masih dalam proses semakan dan kerajaan belum membuat keputusan muktamad berhubung kadar baharu," menurut mereka.

Bagaimanapun, sekiranya kenaikan gaji minimum akhirnya dilaksanakan, mereka mencadangkan kerajaan mempertimbangkan subsidi gaji bersasar bagi tempoh peralihan awal selama enam bulan, khususnya kepada SME dan perniagaan yang paling terjejas.

Menurut mereka, langkah itu dapat membantu perniagaan menyerap kos tambahan tanpa memindahkan keseluruhan beban kepada pengguna secara serta-merta, selain memberi masa kepada majikan meningkatkan produktiviti, menyesuaikan operasi dan menyusun semula kos gaji.

Dalam hal itu, persatuan berkenan turut menyokong gesaan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, supaya kerajaan dan majikan berkongsi kos peningkatan gaji melalui subsidi gaji, peningkatan produktiviti, latihan serta insentif teknologi.

Enam persatuan itu turut menggesa kerajaan mengekalkan kadar gaji minimum semasa bagi pekerja asing tanpa sebarang kenaikan tambahan pada peringkat ini.

"Pengukuhan ringgit berbanding beberapa mata wang serantau menyebabkan gaji diperoleh di Malaysia mempunyai nilai lebih tinggi apabila ditukar kepada mata wang negara asal sebahagian besar pekerja asing.

"Berikutan peningkatan kos pekerjaan dan operasi yang ditanggung perniagaan, khususnya SME dan sektor berintensifkan buruh, kami berpandangan tiada kenaikan tambahan bagi pekerja asing pada peringkat ini," kata mereka.

Mereka berkata, perniagaan yang kekal mampan berada pada kedudukan lebih baik untuk mengekalkan pekerja, mewujudkan pekerjaan, melabur, berkembang serta meningkatkan gaji secara berperingkat.

"Kami kekal komited terhadap penglibatan konstruktif dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan ke arah kerangka gaji yang adil kepada pekerja, praktikal untuk majikan dan mampan bagi ekonomi Malaysia," kata mereka.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!