12 kru kapal dicekup korek, pindah pasir tanpa kebenaran

Dua kapal mengorek dan memindahkan pasir yang ditahan APMM Melaka dan Negeri Sembilan.
A
A

MELAKA TENGAH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua kapal korek pada kedudukan lebih kurang 4.6 batu nautika Barat Daya Tanjung Keling di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12 tengah malam bot terbabit membawa muatan seramai 12 orang kru termasuk 10 warga China, seorang warga Filipina dan Indonesia yang kesemua mereka berusia dalam lingkungan 24 hingga 61 tahun.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, kapal terbabit ditahan selepas pihak pihaknya menerima maklumat berkenaan aktiviti pengorekan dan pemindahan pasir laut dalam keadaan yang mencurigakan ketika melakukan rondaan rutin.

"Kedua-dua kapal didapati melanggar syarat lesen iaitu beroperasi pada luar waktu dibenarkan dan siasatan awal mendapati salah sebuah bot ditahan tidak mempunyai kebenaran menjalankan operasi pemindahan pasir daripada pihak berkuasa.

"Dua kapal yang berjaya ditahan iaitu kapal bernama WEI YANG 001 dan JIA SHENG 218 yang membawa 12 orang kru dan siasatan awal juga mendapati kapal JIA SHENG 218 tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa," katanya.

Salah sebuah kapal yang ditahan pada kedudukan lebih kurang 4.6 batu nautika Barat Daya Tanjung Keling tengah malam tadi.
Salah sebuah kapal yang ditahan pada kedudukan lebih kurang 4.6 batu nautika Barat Daya Tanjung Keling tengah malam tadi.

Menurutnya, dua kru dari setiap kapal dibawa kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut, manakala pemilik dan ejen kedua-dua kapal berkenaan yang berdaftar di Palau dan Belize.

" Kes disiasat mengikut Akta Pelantar Benua 1966. Kita akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

"Dalam masa sama meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam," katanya.