Raja Perlis berkenan rasmi MRSM Arau

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan menandatangani plak perasmian bangunan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau pada Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat dan Majlis Perasmian MRSM Arau hari ini. - Foto Bernama
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan menandatangani plak perasmian bangunan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau pada Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat dan Majlis Perasmian MRSM Arau hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ARAU - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat dan merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Arau di sini semalam.

Dalam titah perasmian, baginda berharap semua institusi pengajian di Perlis perlu memainkan peranan yang aktif dan kolektif untuk melahirkan lebih ramai lagi intelektual dan modal insan di Perlis yang boleh menjadi aset kepada pembangunan sosioekonomi negeri seterusnya kepada pembangunan Malaysia.

"Ibu bapa, penjaga serta para pendidik perlu menekankan aspek pendidikan yang bukan hanya melibatkan ilmu dan kemahiran semata-mata.

"Malahan amalan nilai-nilai murni juga perlu menjadi fokus utama agar semua pelajar disematkan dengan jati diri yang ampuh serta berkarisma. Semoga suatu hari kelak mereka mampu memimpin pembangunan negara ke arah yang lebih gemilang," titah baginda pada majlis tersebut.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, selaras dengan hala tuju Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) Teras Tiga yang menekankan modal insan berkualiti, kerajaan komited mewujudkan masyarakat luar bandar minda kelas pertama.

Menurutnya, perkara tersebut dilakukan dalam usaha melengkapkan mereka dengan kemahiran yang berorientasikan Revolusi Teknologi 4.0 disamping melahirkan pemimpin yang dinamik.

"Bagi pelajar yang telah menamatkan pelajaran di MRSM bermula 1972 sehingga 2018, rekod mencatatkan sebanyak 171,216 alumni pelajar.

"Pada tahun 2020, MARA masih memberi keutamaan kepada calon-calon daripada keluarga berpendapatan rendah B40 dan setakat 11 Oktober 2019, MARA telah menerima sebanyak 75,222 permohonan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.