Pemangku Raja Perlis berkenan rasmi AEON BiG - Bubbles O2 Liga Besbol Kebangsaan 2023

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen berkenan bergambar bersama pasukan yang menyertai AEON BiG - Bubbles O2 Liga Besbol Kebangsaan 2023. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

A
A
A

SERDANG - Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian AEON BiG - Bubbles O2 Liga Besbol Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini pada Ahad.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Presiden Persatuan Besbol Malaysia (PBM), Sazali Husain dan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan cenderamata kepada salah seorang peserta AEON BiG - Bubbles O2 Liga Besbol Kebangsaan 2023. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan cenderamata kepada salah seorang peserta AEON BiG - Bubbles O2 Liga Besbol Kebangsaan 2023. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah baginda memuji penganjuran acara sukan sedemikian kerana penglibatan masyarakat dalam aktiviti seumpama itu dapat membentuk budaya cara hidup yang sihat.

“Di samping itu, bersukan dapat membantu membina keyakinan dan keterampilan diri seseorang individu. Melalui penglibatan sukan juga, seseorang itu akan didedahkan dengan pelbagai nilai-nilai kehidupan,” titah baginda yang juga Penaung Diraja Persekutuan Besbol Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, pihaknya berbesar hati kerana turut berpeluang menjadi salah satu rakan strategik penganjuran kejohanan Liga Besbol Kebangsaan yang julung kalinya diadakan.

Ujarnya, adalah menjadi objektif mereka untuk menyumbang kepada komuniti melalui kegiatan sukan yang boleh memberi manfaat kepada ramai pihak itu.

“Objektif kami adalah untuk memberi balik kepada komuniti dan besbol antara acara sukan yang dilihat boleh dikembangkan lagi di Malaysia. Jadi sebab itulah kami memilih untuk menjadi sebahagian penaja bagi kejohanan ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Pengunjung tidak melepaskan peluang mengunjungi reruai AEON BiG yang turut dibuka sempena majlis perasmian berkenaan. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Pengunjung tidak melepaskan peluang mengunjungi reruai AEON BiG yang turut dibuka sempena majlis perasmian berkenaan. - Foto SINAR HARIAN/MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Tambahnya, AEON BiG Sdn Bhd sememangnya memberi fokus aktiviti kemasyarakatan dengan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan.

“Menjadi harapan pihak kami juga untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan masyarakat, bukan sahaja melalui acara sukan terkenal tetapi aktiviti-aktiviti sukan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, UPM juga buat julung kalinya menjadi hos Liga Besbol Kebangsaan 2023 anjuran PBM dan ia juga merupakan Liga Besbol Kebangsaan pertama sejak penubuhan BFM pada 1998.

Liga Besbol Kebangsaan 2023 telah bermula pada 10 Jun lalu dan dijalankan selama enam minggu pada setiap Sabtu dan Ahad.

Acara ini disertai oleh 184 orang peserta berusia 20 hingga 30 tahun dari lapan buah negeri iaitu Perlis, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.