Tiada kejadian harimau bintang serang anjing di Padang Terap: Polis

Video berdurasi 44 saat menunjukkan kejadian harimau bintang menyerang anjing didakwa berlaku di Kampung Perik,di sini, yang tular mencetuskan kegelisahan awam.
A
A

PADANG TERAP - Polis menafikan kejadian serangan seekor harimau bintang ke atas anjing yang didakwa berlaku di kediaman seorang penduduk di Kampung Perik dekat sini baru-baru ini seperti ditularkan di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, pihaknya menafikan video harimau bintang menyerang anjing yang tular terjadi di kawasan terbabit.

"Selain itu, kita juga tidak menerima laporan berkait kejadian serangan haiwan bintang seperti ditularkan tersebut.

"Malah, kita melihat kejadian serangan berkenaan adalah mustahil memandangkan majoriti penduduk di Kampung Perik adalah dari kaum Melayu selain tidak membela anjing," katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Padang Terap turut memaklumkan bahawa pihak mereka tidak menerima laporan berkaitan kehadiran harimau bintang itu.

Pegawai APM Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, bagaimanapun orang ramai diminta menghubungi APM bagi mendapatkan bantuan atau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) jikalau mengesan kehadiran haiwan berbahaya di kawasan mereka.

Kelmarin penularan video berdurasi 44 saat bertarikh 29 September 2019 memaparkan kejadian harimau bintang masuk ke halaman rumah sebelum menyerang seekor anjing mencetuskan keresahan ramai.

Bagaimanapun kes terbabit dipercayai berlaku di luar negara susulan nombor pendaftaran kenderaan terpampang di video tidak menunjukkan ia seperti di Malaysia.