KMM terkubur sebelum bertunas?

A
A
A

KONGRES Maruah Melayu (KMM) yang berlangsung minggu lalu bermula dengan cara yang salah dan tampak akan berkubur sebelum sempat bertunas.

Walaupun penganjur rasmi KMM ialah empat buah universiti negara iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta sebuah badan bukan kerajaan (NGO), namun ternampak jelas mereka di sebalik gerakan ini ialah individu-individu yang telah mengkhianati parti UMNO dengan melompat menyertai parti Bersatu.

Kongres itu diadakan secara tergesa-gesa sebagai satu jawapan kepada pelancaran Penyatuan Ummah dan Pemuafakatan Nasional antara Pas dan Gagasan Sejahtera dengan UMNO dan Barisan Nasional.

Permulaan kongres itu telah bermula dengan ‘tangan’ dan niat yang mencurigakan. Namun Pas dan UMNO mengambil sikap berlapang dada menghadiri kongres ini kerana empat universiti ini diberi tanggungjawab mengadakan sidang meja bulat dan merumuskan resolusi.

Persidangan meja bulat seminggu sebelum kongres dipecahkan kepada beberapa kluster seperti UM membincangkan isu politik, UiTM (ekonomi), UPSI (pendidikan) dan UPM (kebudayaan), manakala NGO menumpukan bidang agama.

Penganjuran kongres itu dianjurkan secara tergesa-gesa tanpa strategi komunikasi dan politik yang mengutamakan kepentingan Melayu Islam. Maka ada sebahagian nuansa bahasa yang digunakan boleh dimurnikan bagi mengurangkan salah tanggapan masyarakat bukan Melayu.

Walaupun ia diadakan secara tergesa-gesa, resolusi-resolusi yang dikemukakan seperti pemerkasaan sistem pendidikan kebangsaan, pelantikan orang Islam bagi jawatan-jawatan penting mencerminkan hasrat untuk mengembalikan kedudukan dan kepentingan Islam dan masyarakat pribumi seperti mana pada awal kemerdekaan dan hasrat Perlembagaan Malaysia mencerminkan hati nurani masyarakat Melayu.Retorik

Seluruh usaha kongres lebih kepada menunggu ucaptama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digembar-gemburkan sebagai satu titik permulaan baharu kepada perjuangan orang Melayu di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Malangnya ucapan Tun Mahathir hanya sekadar mengulangi kecaman beliau mengenai sikap orang Melayu seperti mana yang beliau tulis dalam buku Malay Dilemma berdekad lalu.

Orang Melayu telah berubah, namun persepsi dan tanggapan Tun Mahathir terhadap orang Melayu tampaknya tersangkut pada zaman lampau.

Tun Mahathir juga mengulangi retorik lama bahawa kelemahan politik orang Melayu berpunca daripada perpecahan. Katanya, susulan perpecahan itu orang Melayu terpaksa bergadai kuasa dan bergantung kepada orang lain untuk mendapat sokongan rakyat.

Ini bukanlah idea dan ungkapan baharu. Namun seruan kali ini berbeza kerana Tun Mahathir hanya datang daripada parti kecil orang Melayu. Sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum lalu sekitar 25 peratus. Ini menjadikan Bersatu sendiri mewakili sekitar 10 peratus orang Melayu.

Teori perpecahan ini disambut oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan yang menggesa Tun Mahathir membuktikan keikhlasan beliau menyatukan orang Melayu.

Menurut Mohamad Hasan: “Secara rasionalnya, kumpulan kecil umat Melayu/Islam harus menyertai kelompok yang besar. Hari ini kumpulan terbesar orang Melayu/Islam berada dalam gagasan Penyatuan Ummah.”

“Saya fikir pucuk pimpinan UMNO dan Pas tiada masalah untuk menerima penyertaan Tun Mahathir dan PPBM ke dalam agenda besar umat Melayu/Islam ini. Persoalannya, apakah Tun Mahathir sanggup berkorban jawatan dan kepentingan bagi mengangkat semula kuasa umat Islam di negara ini? Insya-ALLAH jika Tun Mahathir jujur dan mahu melihat Melayu Islam menjadi kuasa politik yang kuat, beliau tiada masalah berkompromi dengan UMNO dan Pas.”

Tindakan pantas Tun Mahathir menolak saranan tersebut memberi gambaran jelas kepada orang Melayu bahawa tujuan sebenar Tun Mahathir adalah memperkukuhkan kedudukannya, bukan demi maruah Melayu dan Islam.

Maka cita-cita tangan mereka yang di belakang tabir yang mahu menjadikan kongres itu sebagai batu lonjakan menaikkan imej Tun Mahathir dalam kalangan masyarakat Melayu telah bertukar menjadi malapetaka yang sangat memalukan.

***Abd Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)