Sungai Skudai di kawasan perumahan tercemar paling teruk

Dr Sahruddin ketika membuat lawatan kerja meninjau 'log boom' di Sungai Skudai hari ini.
Dr Sahruddin ketika membuat lawatan kerja meninjau 'log boom' di Sungai Skudai hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - [DIKEMASKINI] Jajaran Sungai Skudai yang terletak dalam kawasan perumahan tercemar pada tahap Kelas Lima iaitu dikategorikan pencemaran paling teruk.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pencemaran tersebut berpunca daripada isu pembentungan di kawasan perumahan.

"Saya telah buat lawatan di Sungai Skudai. Ada sungai pada Kelas Tiga, Kelas Empat dan Kelas Lima. Keadaan ini bergantung kepada lokasi sungai itu terletak di mana.

"Jika di perumahan, kebanyakannya sungai di situ berada pada Kelas Lima kerana isu pembentungan," katanya kepada pemberita selepas program Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 peringkat negeri Johor di Taman Mawar, Pasir Gudang hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) terpaksa mengeluarkan sampah daripada perangkap yang dipasang di beberapa kawasan di Sungai Skudai dua kali seminggu kerana terlalu banyak.

"Saya harap semua masyarakat menjaga kebersihan sebab kita pun dah pasang dua, tiga 'log boom' namun masyarakat tidak peka untuk menjaga kebersihan.

"Sampah masih dibuang ke dalam sungai dan sungai kita masih tercemar. Satu minggu dua kali sampah akan dikeluarkan dan sebulan kita terpaksa mengeluarkan sebanyak 5 tan sampah dalam jarak yang tidak terlalu jauh," katanya.

Menurutnya, tanggungjawab menjaga kebersihan sungai dan memastikan sungai di negeri ini tidak tercemar terletak di bahu semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan semua pihak agar memainkan peranan sebagai persiapan menghadapi banjir susulan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November ini.

"Agensi-agensi kerajaan perlu memastikan sistem saliran, longkang dan perparitan diselenggara bagi mengelak kejadian banjir kilat disebabkan masalah perparitan.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) perlu melihat aspek-aspek pengurusan bencana yang masih mempunyai ruang penambahbaikan termasuk persiapan aset, anggota penyelamat, petugas pusat pemindahan dan sukarelawan," katanya.

Katanya, pemimpin-pemimpin masyarakat perlu bersedia dengan senarai nama penduduk dan mengenalpasti penduduk yang terdedah kepada bahaya bencana terutama golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita mengandung dan kanak-kanak dalam komuniti masing-masing.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak.