AS hantar 'bantuan' ke Arab Saudi

Trump mendakwa Saudi setuju untuk 'membayar' bantuan ketenteraan yang diberikan AS.
Trump mendakwa Saudi setuju untuk 'membayar' bantuan ketenteraan yang diberikan AS.
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan ia menghantar kira-kira 3,000 anggota tentera tambahan bersama peralatan ketenteraan termasuk pertahanan udara dan jet pejuang ke Arab Saudi.

Langkah itu didakwa dapat membantu Riyadh melindungi ia daripada sebarang bentuk serangan yang telah memusnahkan dua kemudahan minyak di negara itu.

Jurucakap Pentagon, Jonathan Hoffman berkata, Setiausaha Pertahanan AS, Mark Esper memberi kebenaran untuk penghantaran pasukan tambahan termasuk dua skuadron pejuang, dua bateri Patriot dan Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD).

"Perkara itu telah dimaklumkan kepada Putera Mahkota, Muhammad Salman yang juga Menteri Pertahanan Saudi. Ia bertujuan untuk meningkatkan pertahanan negara itu," ujar Hoffman.

Sementara itu, Presiden Donald Trump mengesahkan mereka menghantar tentera tambahan ke Riyadh untuk membantu negara itu dan mereka juga bersetuju untuk 'membayar' segala bantuan tersebut.

Difahamkan, empat sistem radar Sentinel dan bateri Patriot tersebut bertujuan untuk menjaga keselamatan di utara negara itu memandangkan kebanyakan sistem pertahanan udara Riyadh ditempatkan berhampiran kawasan selatan bersempadan Yemen.

Sejak beberapa bulan lalu, Houthi telah melancarkan misil dan dron di beberapa sasaran di Saudi dan serangan itu mencapai kemuncak apabila kumpulan terbabit mendakwa sebanyak 10 dron dilancarkan menyasarkan kemudahan minyak milik Aramco di Khurais dan Abqaiq.

Serangan dron tersebut turut menjejaskan lebih separuh keluaran minyak atau kira-kira 5.7 juta tong sehari di kemudahan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Washington dan Riyadh bagaimanapun menuduh Iran mendalangi serangan tersebut.

Sebelum ini, AS mengakui kebanyakan sistem pertahanan buatan negara itu yang ditempatkan di Saudi gagal untuk memintas sebarang ancaman dron. - Agensi