Hulu Langat, Ampang dilanda banjir kilat

Usaha memindahkan warga emas terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Sungai Gahal Hulu Langat petang tadi. Foto: JBPM Selangor
Usaha memindahkan warga emas terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Sungai Gahal Hulu Langat petang tadi. Foto: JBPM Selangor
A
A
A

HULU LANGAT - Sebanyak enam rumah melibatkan 30 mangsa banjir kilat di Jalan Felcra Semungkis Batu 14 di sini dipindahkan susulan hujan lebat petang tadi.

Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, PGO menerima panggilan kecemasan jam 6.03 petang dan menghantar 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kajang serta Bandar Tun Hussein Onn ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian banjir kilat mendapati paras air naik sehingga 0. 91 meter menyebabkan enam rumah terjejas dan 30 penduduk dipindahkan ke tempat yang lebih selamat ekoran lokasinya berhampiran sungai.

"Keadaan menjadi terkawal setengah jam kemudian dan banjir semakin surut secara berperingkat sebelum operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 8 malam," katanya.

Dalam kejadian berasingan Zulfikar berkata, 40 rumah di Kampung Sungai Gahal di sini turut dilanda banjir kilat dengan ketinggian 1.2 meter jam 6.06 petang.

"BBP Bangi dengan kekuatan 10 anggota dikejarkan ke lokasi dan membantu memindahkan seorang warga emas dan tiga orang kurang upaya ke lokasi selamat.

"Pemantauan dan kawalan keselamatan dilakukan sehingga keadaan kembali terkawal, " katanya.

Sementara itu, banjir kilat turut melanda kawasan termasuk di Sekolah Kebangsaan (SK) Ampang yang dikongsi menerusi rakaman video di laman sosial Facebook.

Artikel Berkaitan:

Banjir kilat setinggi 0.5 meter itu menyebabkan beberapa kenderaan tenggelam selain limpahannya turut memasuki beberapa unit kedai berhampiran.